Berita Utama

Beku akaun taikun: Tindakan Guan Eng bukti PH tadbir cara rimba

Bagaimana butir sulit siasatan SPRM boleh bocor kepada ahli politik?

BANGI, 10 Syawal 1441H, Selasa – Pendedahan mengenai permintaan Lim Guan Eng kepada Tommy Thomas untuk membatalkan arahan pembekuan ke atas empat akaun milik seorang taikun hartanah, dipercayai Lim Soon Peng menimbulkan pelbagai persoalan.

Lebih mengejutkan apabila laporan yang tidak dinafikan Guan Eng itu turut disahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Khusairi Yahaya.

Khusairi dilaporkan berkata, pihaknya akan menyiasat bagaimana perincian rahsia penyiasatan mengenai wang RM4 juta yang diterima oleh seorang hartawan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dibocorkan kepada seorang ahli politik.

“Dan ahli politik terbabit telah menggunakan pengaruh beliau untuk membolehkan peguam negara ketika itu mengeluarkan arahan agar SPRM melepaskan keempat-empat akaun milik taikun berkenaan,” katanya. 

Melihat kepada ‘krisis’ yang berlaku, Timbalan Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Fauzi Asmuni yakin sebelum ini kerajaan PH mentadbir negara  dengan cara ‘rimba’ tanpa merujuk kepada apa-apa rujukan. 

“Bidang kuasa dicerobohi sewenang-wenangnya tanpa sembunyi. Caca merba yang timbul selain dari isu samada Tan Sri Lim Soon Peng terlibat atau tidak dengan isu 1MDB adalah antaranya:

“… kenapa LGE mencampuri urusan penyiasatan terhadap Soon Peng? Apa kepentingan beliau di situ? Bagaimana butir-butir sulit penyiasatan oleh SPRM boleh bocor kepada ahli politik?

“…. atas peruntukan apa Guan Eng membuat permintaan kepada Tommy Thomas?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ustaz Fauzi berkata, selain daripada mentadbir negara ‘ikut suka hati’, Guan Eng yang merupakan orang kanan dalam kerajaan PH juga menggambarkan ‘dia’ memang tidak sepatutnya diberi peluang sekali lagi oleh rakyat Malaysia untuk mentadbir negara. 

“Mereka nampaknya akan hanya menjadikan kuasa dan posisi dalam negara sebagai lubuk untuk memenuhi kepentingan peribadi semata-mata,” katanya.

Semalam, portal berita liberal, Free Malaysia Today melaporkan, Guan Eng pada 2019 meminta Jabatan Peguam Negara membatalkan arahan pembekuan ke atas 4 akaun bank milik taikun berkenaan yang dibekukan bagi membantu siasatan ke atas kes pengubahan wang.

Laporan itu mengatakan bahawa Guan Eng telah mendapat respons positif dari Peguam Negara, kemudian Tommy Thomas, yang kemudian memerintahkan SPRM untuk membatalkan pembekuan keempat-empat akaun bank tersebut.

Bagaimanapun, Guan Eng tidak menjawab permintaan FMT untuk memberi komen. Namun, beliau memberitahu Malaysiakini bahawa beliau percaya Tommy Thomas telah bertindak sewajarnya ketika kes itu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button