Enam individu rugi RM30,293 diperdaya sindiket dalam talian
Semua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan

KEPALA BATAS, 10 Syawal 1441H, Selasa – Enam individu termasuk tiga wanita mengalami kerugian kira-kira RM30,293 selepas masing-masing ditipu dalam urusan jual beli menerusi laman sosial, di daerah Seberang Perai Utara (SPU), di sini dua hari lepas.
Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian membabitkan penipuan jual beli barangan kemas, dua wanita berusia 26 dan 37 tahun mengalami kerugian RM12,560, apabila ditipu suspek yang mengaku pemilik kedai emas yang dikenali mereka menerusi Facebook, selepas suspek menawarkan jualan emas di bawah harga pasaran sehingga menarik perhatian mereka.
Beliau berkata, dalam kes berasingan, seorang lagi wanita berusia 32 tahun dan seorang lelaki berusia 22 tahun mengalami kerugian RM10,933.33 apabila ditipu sindiket pinjawan wang tidak wujud, selepas berurusan dengan suspek yang menampilkan iklan pinjaman wang dengan sebuah syarikat berlesen, yang dipaparkan di Facebook.
“Lelaki yang bekerja sebagai peniaga itu ingin membuat pinjaman RM10,000, dan telah masukkan RM4,500 ke dalam dua akaun bank bagi tujuan berkenaan, manakala wanita yang bekerja sebagai pembantu di sebuah klinik swasta yang ingin membuat pinjaman RM20,000 telah masukkan RM6,433.33 juga ke satu akaun bank diberi,” katanya, dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu, Noorzainy berkata, dua lelaki berusia 16 dan 46 tahun pula mengalami kerugian RM6,800 selepas ditipu sindiket menjual telefon pintar secara dalam talian, yang menawarkan harga jualan yang amat murah dan suspek gagal dihubungi selepas kedua-dua mereka memasukkan wang ke dalam satu akaun diberikan.
Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut terhadap enam kes itu, termasuk berusaha mengesan pemilik akaun yang digunakan untuk memindahkan wang daripada mangsa, dan semua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -Bernama