Berita Utama

ISMA-PEMBELA sedia kerjasama dengan Kementerian Wilayah banteras arak

40 notis permohonan lesen jual arak, kebanyakan kedai serbaneka

BANGI, 10 Syawal 1441H, Selasa – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) sedia bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menjayakan agenda bagi menghentikan pengeluaran lesen permohonan menjual arak.

Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan bersidang bagi merangka strategi dan pelan tindakan dalam isu ini. 

Pihaknya menyambut baik pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa supaya pengeluaran lesen penjualan arak dibekukan sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan.

Pun begitu, beliau berpendapat bahawa pembekuan pengeluaran lesen penjualan arak sehingga sesuatu tempoh seperti yang dicadangkan menteri adalah tidak cukup. 

“Mungkin perlu mempertimbangkan agar tidak mengeluarkan langsung lesen-lesen baru sebagai langkah awal yang berperingkat ke arah negara sifar alkohol,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan sebuah laporan akhbar Berita Harian sebanyak dua muka surat penuh yang mengandungi lebih 40 notis permohonan menjual arak, kebanyakannya oleh kedai serbaneka seperti KK Speedmart di Kuala Lumpur.

Haji Aminuddin yang juga Pengerusi PEMBELA berkata, timbul persoalan sama ada ia adalah satu bentuk ‘respon’ terhadap gelombang antiindustri penjualan arak atau hanya satu kebetulan sahaja.

Bagaimanapun, katanya, apa yang pasti ialah tindakan drastik perlu diambil dengan pantas oleh semua pihak, termasuk pergerakan NGO. 

Justeru, beliau sebagai wakil NGO menggesa Kementerian Wilayah untuk turut bertindak dengan segera dalam isu ini.

“Kita khuatir jika permohonan lesen-lesen yang banyak ini ‘terlepas’ sebelum sempat kerajaan membekukan pengeluaran lesen-lesen baru tersebut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button