Berita Utama

Isu arak: Mana ahli politik ‘rahmatan lil alamin’?

Rahmat kesejahteraan dinikmati bersama jika jauhi arak

BANGI, 10 Syawal 1441H, Selasa – Ahli politik yang sering melaungkan slogan ‘rahmatan lil alamin’ dalam berpolitik semestinya menyokong, malah bersungguh-sungguh berusaha supaya arak diharamkan di negara ini.

Bagaimanapun, Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, malangnya dalam isu berkenaan, tidak nampak perkara ini berlaku.

Beliau berkata, pengharaman arak dalam Islam adalah antara contoh manifestasi rahmatan lil alamin (rahmat buat sekalian alam) yang sebenar, iaitu jika manusia menjauhi arak maka rahmat kesejahteraannya akan dinikmati bersama dari pelbagai aspek seperti kesihatan fizikal dan mental, ketenteraman awam dan sebagainya.

“Oleh itu, di manakah mereka dalam isu ini?,”soalnya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Sejak kebelakangan ini, Malaysia dikejutkan dengan siri kejadian pemandu mabuk yang mana mendatangkan kebimbangan serta kemarahan banyak pihak memandangkan sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri peminum arak mengancam nyawa orang ramai.

Dalam kejadian terbaharu, seorang penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang disyaki pemandunya mabuk dalam kejadian di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala pusat bandar di ibu negara, hari ini.

Mangsa, Mohamed Zaili Mohamed, 44, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa selepas menghantar makanan yang diniagakan oleh isterinya.

Terdahulu, beberapa anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya nyaris dirempuh kenderaan yang dipandu lelaki dipercayai mabuk, berhampiran Queensbay, Bayan Lepas.

Sehari sebelum itu, seorang pekerja syarikat kurier maut dilanggar individu di bawah pengaruh alkohol di kilometer 34.2 Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur.

Sementara 22 Mei lalu, seorang lelaki memandu kenderaan pacuan empat roda secara berbahaya di sebuah tapak perniagaan di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor menyebabkan lima orang cedera, sekali gus mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.

Awal bulan lalu, seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) maut selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda, dipandu seorang lelaki yang disyaki mabuk.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button