Berita Utama

COVID-19: 354 kes baharu dikesan dengan 6 kematian

Sabah rekod jumlah kes harian baharu paling tinggi dengan 274

KUALA LUMPUR, 21 Safar 1442H, Jumaat – Jumlah kes harian baharu COVID-19 di negara ini bagi tempoh 24 jam lepas kekal tiga digit dengan 354 kes dicatatkan selain enam kematian baharu turut dilapor.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 14,722, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan berjumlah 3,863 kes.

Beliau berkata Sabah merekodkan jumlah kes harian baharu paling tinggi dengan 274 kes berikutan lebih banyak aktiviti saringan dijalankan di lapangan, terutama di tujuh daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.

“Di Kedah hanya mencatatkan 10 kes susulan kejayaan kawalan bagi Kluster Tembok.

“Di Selangor sebanyak 24 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 10 kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dua kes,” katanya pada sidang media menerusi laman Facebook Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Dr Noor Hisham berkata di Sarawak pula terdapat 10 kes, Pulau Pinang (8), Johor dan Terengganu masing-masing lima kes, Negeri Sembilan (4) dan masing-masing satu kes di Perak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata daripada kes baharu itu, 352 adalah kes penularan tempatan manakala baki dua lagi merupakan kes import melibatkan warganegara yang masing-masing pulang dari India dan Oman.

Bagi kes penularan dalam negara, beliau berkata 332 kes adalah warganegara dan 20 lagi merupakan rakyat asing.

“Daripada jumlah kes penularan dalam negara, 23 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekali gus menjadikan jumlah (terkumpul) kes dengan sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept kini sebanyak 324 kes,” katanya.

Mengenai enam kematian baharu, Dr Noor Hisham berkata kesemua kes itu melibatkan warganegara di Sabah, sekali gus menjadikan jumlah kes maut akibat COVID-19 di negara ini kini sebanyak 152 kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button