Berita Utama

Mabuk arak: Mohon menteri bincang, ambil tindakan segera

Harap tiada 'politikus' yang akan berikan alasan demi alasan

BANGI, 10 Syawal 1441H, Selasa – Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid memohon menteri dan Ahli Parlimen untuk mengambil berat isu siri kematian rakyat akibat pemandu mabuk yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

“Mohon dibincang dan diambil tindakan seberapa segera!

“COVID-19 membunuh, arak juga membunuh dan menyebabkan pelbagai masalah fizikal, mental, ekonomi dan sosial masyarakat yang tidak mematuhi ajaran agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak kebelakangan ini, Malaysia dikejutkan dengan siri kejadian pemandu mabuk yang mana mendatangkan kebimbangan serta kemarahan banyak pihak memandangkan sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri peminum arak mengancam nyawa orang ramai.

Dalam kejadian terbaharu, seorang penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang disyaki pemandunya mabuk dalam kejadian di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala pusat bandar di ibu negara, hari ini.

Mangsa, Mohamed Zaili Mohamed, 44, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa selepas menghantar makanan yang diniagakan oleh isterinya.

Terdahulu, beberapa anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya nyaris dirempuh kenderaan yang dipandu lelaki dipercayai mabuk, berhampiran Queensbay, Bayan Lepas.

Sehari sebelum itu, seorang pekerja syarikat kurier maut dilanggar individu di bawah pengaruh alkohol di kilometer 34.2 Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur.

Sementara 22 Mei lalu, seorang lelaki memandu kenderaan pacuan empat roda secara berbahaya di sebuah tapak perniagaan di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor menyebabkan lima orang cedera, sekali gus mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.

Awal bulan lalu, seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) maut selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda, dipandu seorang lelaki yang disyaki mabuk.

Dalam perkembangan sama, Prof Zainur Rashid turut menggesa supaya ‘politikus’ tidak memberikan alasan demi alasan berhubung isu berkenaan.

Beliau juga menegaskan bahawa arak bukan sahaja diharamkan oleh agama Islam, bahkan juga dilarang menurut agama Hindu, Buddha dan Kristian.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close