Berita UtamaDunia

Makanan dicatu, PBB rayu dana segera di Yaman

75 peratus program PBB terpaksa dikurangkan

SANAA, 10 Syawal 1441H, Selasa – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu pembiayaan dana segera bagi menyokong operasi di Yaman, dengan mengatakan terpaksa menghentikan beberapa kerja kemanusiaan ketika coronavirus melanda negara itu.

Sebanyak 75 peratus program PBB di Yaman terpaksa ‘menutup pintu’ atau mengurangkan operasi.

Program Makanan Dunia badan global terpaksa mencatu dan perkhidmatan kesihatan yang dibiayai PBB dikurangkan pada 189 daripada 369 hospital di seluruh negara.

Kekurangan dana adalah hasil dari beberapa faktor, tetapi antara sebab utama adalah halangan oleh pemberontak Houthi Yaman, yang menguasai ibu kota, Sanaa, dan wilayah lain.

“Hampir mustahil untuk melihat keluarga, menatap mata mereka dan berkata, ‘Saya minta maaf tetapi makanan yang anda perlukan kami terpaksa potong separuh,” kata penyelaras PBB di Yaman, Lise Grande kepada The Associated Press.

Katanya, Houthi berusaha untuk menjadi lebih telus dan berharap ini akan mendorong negara-negara memberikan bantuan.

Bagaimanapun, sikap optimisnya muncul ketika pemberontak menghadapi kecaman hebat kerana menekan maklumat mengenai jumlah kes dan kematian COVID-19 di daerah yang mereka kendali, sementara tidak melakukan langkah pengurangan.

Amerika Syarikat, salah satu penderma terbesar, mengurangkan bantuannya ke Yaman awal tahun ini, kerana campur tangan pihak Houthi.

Masih belum dapat dilihat sama ada Houthi akan membenarkan pemantauan dan pengawasan, atau memberi ruang kepada agensi PBB untuk beroperasi.

Pergolakan yang berlaku di Yaman, antara negara Arab paling miskin terbabit dalam perang antara pemberontak Houthi dengan kerajaan yang disokong Arab Saudi serta sekutunya sejak 2014.

Tentera pakatan diketuai Arab Saudi itu melancarkan serangan udara besar-besaran serta menyekat laluan perdagangan menyebabkan bekalan makanan serta perubatan terputus.

Perang udara dan pertempuran di darat mengorbankan lebih dari 100,000 orang, menutup atau memusnahkan separuh kemudahan kesihatan Yaman dan mengusir jutaan rakyat negara itu dari kediaman mereka.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button