Berita Utama

Anggota polis didakwa minta rasuah

Suapan bagi lepaskan anak buah mangsa tiada dokumen

KOTA KINABALU, 16 Zulkaedah 1441H, Rabu  – Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap tiga pertuduhan meminta rasuah sebagai dorongan untuk melepaskan dua lelaki yang ditangkap, kerana kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah pada Ogos 2018.

Tertuduh Koperal Margani Arpah, 55, bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

Mengikut pertuduhan pertama, bertempat di belakang pondok polis Warisan Square, Margani meminta suapan wang tunai RM2,000 daripada Anisa Hassan, sebagai dorongan untuk melepaskan anak buahnya Hadun Majid dan Sabrin Mokhtar, yang ditangkap kerana tidak mempunyai dokumen.

Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga iaitu di tempat yang sama, tertuduh telah sekali lagi meminta wang tunai RM900 dan RM300 daripada Anisa Hassan, untuk tujuan yang sama.

Margani didakwa melakukan kesalahan itu, antara 5 petang  dan 6.26 petang, 22 Ogos 2018 dan bagi pertuduhan pertama tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Margani didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, yang juga boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Abu Bakar Manat, kemudiannya membenarkan Margani diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM4,000 dan seorang penjamin tempatan, serta dua syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu sekali dalam tempoh dua bulan dan pasport antarabangsa diserahkan kepada pihak mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Clementine Severinus, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan sebutan semula kes pada 25 Ogos depan. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button