Berita UtamaPendapat

Polis dipukul pemabuk, mohon bincang langkaui ‘pemandu mabuk’

Pelik kes jenayah individu mabuk berlaku ketika PKP, PKPB

SEMALAM, seorang pengurus kelab malam didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dakwaan empat pertuduhan termasuk merusuh dan menyerang polis menggunakan kerusi di Balai Polis Jalan Tun H.S.Lee. Salah satunya juga adalah kesalahan memandu dalam keadaan mabuk tetapi tidak menyebabkan apa-apa kematian. Tetapi kesalahan merusuh dan menyerang polis ini adalah sesuatu yang luar biasa dan serius.

Tetapi ini bukan kes pemandu mabuk semata-mata, kerana beliau telah membuat kesalahan lain iaitu merusuh dan menyerang polis. Tetapi isu pokoknya adalah sama, iaitu arak. Dan ini sebagai bukti betapa arak ini merosakkan diri dan membahayakan orang sekeliling walaupun tidak memandu akibat hilang kewarasan dan pertimbangan diri.

Sebab itulah saya mengajak kita berbincang keluar dari setakat kerangka pemandu mabuk semata-mata. Namun, saya tidak menafikan undang-undang jalanraya perlu diperketatkan. Walaubagaimanapun, melihat kepada isu sebegini, memang sudah jelas bahawa punca sebenar kepada semua permasalahan ini adalah arak kerana arak memungkinkan manusia untuk melakukan perkara-perkara luar biasa yang membahayakan orang lain.

Satu lagi, tidakkah pelik kerana kes-kes jenayah yang melibatkan individu-individu mabuk yang berlaku baru-baru ini berlaku semasa premis-premis seperti bar dan kelab malam tidak dibenarkan beroperasi kerana arahan PKP dan PKPB? Maka, pastinya mereka mabuk hasil dari pembelian arak dari kedai-kedai serbaneka yang mudah didapati seperti 7-Eleven, KK Mart, 99 Speedmart dan sebagainya. Mungkin sebagai langkah awal ke arah negara sifar alkohol, kerajaan boleh mengharamkan penjualan arak di peringkat kedai-kedai serbeneka dahulu.

Menikmati hidup yang selamat, tenteram dan aman adalah hak kita bersama. Minum arak bukannya soal hak kebebasan beragama selain Islam, maka jauh sekali dari menjadi ‘hak agama bukan Islam’ kerana memelihara nyawa itu adalah prioriti kita yang paling utama.

Saya harap agar kita dapat terus mendesak agar industri arak diperlakukan sesuatu secara drastik walaupun berperingkat. Negara kita semakin maju dan membangun maka pada masa yang sama negara perlu meninggalkan apa jua yang merosakkan negara termasuklah arak, sebagaimana kita memerangi dadah, rasuah dan sebagainya.

Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
2 Jun 2020

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close