Berita Utama

109,617 lepasan SPM 2019 layak ke IPTA

Permohonan rayuan dibuka mulai 3 hingga 10 Jun 2020

BANGI, 11 Syawal 1441H, Rabu – Seramai 109, 617 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 yang layak, ditawarkan ke Universiti Awam, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi melanjutkan pengajian bagi sesi akademik 2020/2021. 

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) berkaitan kepada calon yang berjaya mulai 4 Jun 2020. 

Katanya, calon perlu membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh lima hari iaitu selewat-lewatnya 8 Jun 2020.

“Pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak melalui laman web IPTA seperti di Lampiran 1. 

“Tarikh pendaftaran pelajar baharu adalah mulai 5 Jun 2020 hingga 4 Januari 2021 mengikut IPTA masing-masing,” katanya, hari ini.

KPT berkata, kementerian itu mengamalkan prinsip meritokrasi dalam pengambilan pelajar, di mana semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberi peluang untuk mengikuti pengajian di IPTA. 

“Tiada sistem kuota digunapakai dan sistem ini telah digugurkan semenjak pengambilan sesi 2002/2003.

“Calon yang tidak menerima sebarang tawaran atau gagal boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline di http://upu.moe.gov.my,” katanya. 

Kementerian itu berkata, permohonan rayuan melalui UPUOnline akan dibuka dalam tempoh lima hari bekerja mulai 3 Jun jam 12 tengah hari sehingga 10 Jun jam 5 petang.

Katanya, tawaran tempat bagi sesi akademik 2020/2021 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran tidak dibenarkan. 

“Dasar pemilihan rayuan pelajar adalah tertakluk kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan. 

“Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi (BKPA JPT) telah membuka kemudahan talian hotline mulai 3 Jun hingga 10 Jun dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang untuk memudahkan pemohon membuat semakan dan mendapatkan khidmat runding cara,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close