Berita Utama

Bubar DUN! Amaran Sultan Johor untuk wakil rakyat berebut kuasa

Sultan Iskandar kecewa ada pemimpin gila kuasa demi kepentingan diri

BANGI, 11 Syawal 1441H, Rabu – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memberi amaran akan membubarkan serta-merta Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat. 

Baginda hari ini meluahkan rasa kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri berkenaan, apabila ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri sendiri. 

Baginda bertitah, dalam keadaan rakyat yang sedang susah ketika ini, pemimpin langsung tidak peduli bahkan sanggup menambah lagi derita rakyat. 

“Saya tidak boleh tengok rakyat saya menderita, dan tidak akan biarkan negeri saya dikucar-kacirkan.

“Saya telah bersumpah untuk menjaga dan membela nasib rakyat dan negeri saya pada setiap masa,” titah baginda dalam kenyataan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini. 

Justeru, baginda menegaskan akan membubarkan DUN sekiranya perebutan kuasa terus berlaku dalam kalangan wakil rakyat di negeri berkenaan. 

“Saya akan berikan peluang kepada rakyat negeri Johor untuk memilih wakil mereka yang baharu, dan saya harap kali ini pilihlah pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri, bukan parti atau diri sendiri.

“Rasulullah ditanya tentang mereka yang meminta untuk memegang kepimpinan lalu Rasulullah bersabda: Kami tidak memberikan kepimpinan kepada mereka yang memintanya dan bukan pada mereka yang tergila-gilakan jawatan kepimpinan,” titah baginda.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button