Berita Utama

Cadangan hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk disokong

Pesalah perlu diheret ke muka pengadilan dengan hukuman tegas

KUALA LUMPUR, 11 Syawal 1441H, Rabu – Cadangan meminda undang-undang berkaitan kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk merupakan langkah tepat bagi mendatangkan kesan kepada pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab, kata Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata ini kerana ia dapat memberi peringatan tegas dan pengajaran kepada mereka supaya tidak sesekali memandu selepas meminum minuman beralkohol.

Beliau berkata sekiranya fokus hanya tertumpu kepada soal penjualan minuman keras ia berupaya membuka ruang untuk dijadikan bahan provokasi seterusnya perbalahan antara kaum.

“Kita patut menumpukan kepada penambahbaikan undang-undang dengan mengenakan hukuman lebih berat dan mengheret pesalah ke muka pengadilan. Tidak perlu mencetuskan isu ini (penjualan minuman keras) menjadi kontroversi yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Sabtu lepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk merangka pindaan ke atas Akta Perngangkutan Jalan 1987 (Akta 333) berikutan bilangan kes kemalangan jalan raya membabitkan pemandu mabuk yang dilihat semakin membimbangkan kebelakangan ini.

Di Kota Kinabalu, SABAH, Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) turut menyuarakan menyokong langkah kerajaan Persekutuan untuk merangka pindaan Akta berkenaan bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Yang Dipertua USIA Datuk Sairin Karno berkata langkah itu sangat wajar demi kepentingan dan keselamatan orang awam, selain ia juga sebagai satu keperluan mendesak, memandangkan kes kemalangan jalan raya disebabkan oleh pemandu mabuk semakin merunsing ketika ini.

“Saya berharap pindaan akta itu dapat diluluskan pada persidangan Parlimen akan datang supaya pelaksanaannya dapat dipercepatkan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close