COVID-19: Kadar kematian meningkat 20 peratus di Yaman
Negara dilanda perang itu kini berada 'di titik penghujungnya'

SANAA, 11 Syawal 1441H, Rabu – Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Yaman memberi amaran kadar kematian novel coronavirus di negara itu meningkat sebanyak 20.77 peratus.
Pegawai PBB pada Isnin menyatakan, ratusan orang yang dijangkiti dipercayai meninggal dunia di rumah kerana ketakutan terhadap stigma serta kekurangan bekalan makmal.
Laporan tidak rasmi menunjukkan bahawa kebanyakan warga Yaman yang meninggal dunia di rumah mereka akibat COVID-19 tinggal di kawasan dikuasai Houthi.
Sejak 10 April – ketika kes pertama coronavirus dikesan di Yaman – kerajaan mengumumkan 354 orang telah dijangkiti termasuk 84 yang meninggal dunia.
Angka tersebut tidak termasuk mereka yang dijangkiti di daerah dikuasai Houthi.
Semalam, Organisasi Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) memberi amaran, pandemik COVID-19 memburukkan lagi keadaan yang sudah mengerikan di Yaman, khususnya kepada rakyat yang mudah terdedah.
Ketua IOM, Antonio Vitorino berkata, migran di Yaman terdedah dalam setiap fasa perjalanan mereka.
“Kanak-kanak dan wanita yang tidak didampingi adalah antara penduduk migran yang paling terdedah, sering mengalami penculikan, paksaan dan penderaan fizikal,” katanya sambil menambah keadaan di negara itu ‘di titik penghujungnya’. – Agensi