Berita Utama

COVID-19: KKM yakin pelaksanaan garis panduan di sekolah

Garis panduan dirangka akan ditambah baik dari semasa ke semasa

PUTRAJAYA, 11 Syawal 1441H, Rabu – Kementerian Kesihatan (KKM) yakin dengan pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah, mampu membendung jangkitan COVID-19 sekiranya jarakan sosial, dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, garis panduan yang dirangka itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa untuk kebaikan pelajar, guru-guru dan ibu bapa.

“Semalam saya ada peluang ke sekolah melihat kepada pelaksanaan (garis panduan). Kita sudah ada garis panduan dan keutamaan (pembukaan sekolah), adalah bagi pelajar tingkatan 5 dan tingkatan 6.

“Jangka masa adalah dua minggu (akan umum sebelum sekolah dibuka)…tetapi apa yang pasti, kita masih belum buat keputusan bila kita akan buka sekolah, tapi garis panduan semua telah kita siapkan,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham mengulas pertanyaan berhubung kegusaran ibu bapa dan guru-guru, tentang kepatuhan pelajar berhubung garis panduan yang akan diumumkan mulai esok.

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin hari ini dilaporkan berkata, garis panduan itu akan diedar bagi membolehkan pihak sekolah dan guru-guru, membuat persediaan sewajarnya.

Beliau berkata, garis panduan berhubung pergerakan pelajar di dalam sekolah bermula daripada setibanya pelajar itu di sekolah hingga mereka pulang, telah dihasilkan secara terperinci bersama KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memberi contoh pelaksanaan garis panduan itu amat menekankan jarakan sosial, dalam kalangan pelajar.

“Di kantin contohnya, sekarang pelajar tidak makan di kantin. Mereka akan beratur jarak satu meter, mengambil makanan di kantin dan terus ke bilik darjah untuk makan, kerana di situ sudah ada jarakan sosial.

“Jadi kita akan pastikan pelaksanaan itu berjalan lancar. Inilah perancangan kita, dan kita harapkan ia berjalan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Ditanya mengenai pandangan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang menghalang pengunaan ubat ‘remdesivir’ dalam kalangan pesakit COVID-19, jelas Dr Noor Hisham KKM sentiasa memantau akan kesan sampingan yang ditunjukkan pesakit.

KKM dalam ujian solidariti bersama WHO telah menerima ubat anti viral itu, bagi merawat 100 pesakit COVID-19 tetapi buat masa ini, hanya sembilan pesakit yang dirawat serta dipantau rapi kementerian itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button