Berita Utama

Nasib UMNO tak seteruk sekarang jika buat PRU15 lebih awal

'Timing' penting dalam politik nak pastikan kemenangan

BANGI, 21 Zulkaedah 1444H, Sabtu – Nasib UMNO mungkin tidak seteruk sekarang jika ‘Putrajaya’ mengikuti keputusan dicapai bersama untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih awal selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, masa yang tepat sangat penting dalam politik terutama bagi memastikan parti boleh mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

“Jika pihak ‘Putrajaya’ ikut keputusan bersama – ketika gelombang kemenangan (PRN) Melaka – BN menang 21 daripada 28 kerusi – dan Johor – BN menang 40 daripada 56 kerusi – semangat masih tinggi dan ketika #BossKu (Najib) masih di luar – adakan PRU15, maka nasib UMNO dan BN tidak seteruk ini.

“(Faktor) ‘timing’ sangat penting dalam politik. Yang lepas dijadikan ingatan,” katanya melalui Twitter hari ini.

Kenyataan Ahli Parlimen Pontian itu dipercayai merujuk kepada keputusan Kabinet diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang tidak mengikut keputusan parti yang meminta PRU15 diadakan lebih awal.

Semalam, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang hadir mengejut di luar Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur mendakwa Ahmad sebagai punca kegagalan UMNO dalam PRU15.

Tajuddin yang kini digantung enam tahun oleh UMNO turut mendakwa Ahmad yang ketika itu Setiausaha Agung UMNO, tidak memberikan nasihat sewajarnya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika UMNO lemah ketika itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button