Berita Utama

Golongan politik kini berjuang untuk parti atau rakyat?

Dalam situasi di Johor, adakan pilihan raya merupakan jalan terbaik

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 11 Syawal 1441H, Rabu – Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya merasakan, Parlimen perlu dibubarkan memandangkan pendirian wakil rakyat ketika ini yang boleh digugat.

Beliau mendakwa, pendirian yang mudah disogok dengan wang ringgit atau sebagainya hanya akan menyebabkan suasana politik negara menjadi tidak menentu.

Memburukkan lagi keadaan, dakwanya lagi, perkara itu menyebabkan para pelabur takut untuk menanam modal yang akhirnya ekonomi tidak berkembang dan rakyat berterusan menderita.

“Adakah parti itu diutamakan daripada rakyat ataupun apa? Ini persoalan yang bermain di minda rakyat. Jika berjuang kerana parti bukan kerana rakyat, sebenarnya Ahli Parlimen seperti itu tidak layak untuk memimpin. Kita mesti perjuangkan rakyat dahulu.

“Nama pun wakil rakyat, bukan wakil parti. Parti itu sebagai wadah sahaja untuk memperjuangkan nasib rakyat. Selagi Ahli Parlimen dan ADUN tidak mempunyai pendirian seperti ini, maka selagi itu rakyat akan terus menderita,” dakwanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Datuk Seri Dr Shahruddin Md Salleh yang bersedia melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya dan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) jika dapat mengukuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tindakan itu dilakukan demi rasa sayangnya kepada parti dan ingin melihat pengukuhan parti dan dapat memberikan sepenuhnya tumpuan kepada Bersatu.

Shahruddin yang juga Ahli Parlimen Sri Gading menyatakan tidak mahu melihat Bersatu lemah kerana berpecah-belah serta berlaku serang menyerang yang memalukan.

“Andai kata saya perlu meninggalkan rakan-rakan PN dan kembali semula kepada Pakatan Harapan dan di situ ada jaminan bahawa Bersatu akan kuat dan terus hidup, maka saya sedia lakukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin berkata, bahawa ‘ugutan-ugutan’ seperti itu tidak wajar dilakukan.

“Tambah pula di Johor kedudukannya sangat tipis akan berlaku dari semasa ke semasa ‘beli-membeli’, kenyataan-kenyataan ugutan seperti ini.

“Bagi saya tidak ada pilihan melainkan bubar sahaja Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) atau bubar sahaja DUN negeri jika susah sangat untuk adakan pilihan raya pada peringkat Persekutuan.

“Pulangkan semula kuasa memilih pemimpin itu di tangan rakyat. Jangan hanya seorang dua Ahli Parlimen yang menentukan nasib rakyat,” sindirnya sinis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close