Berita Utama

Henti guna alasan perayaan pertahan penjualan arak: WAFIQ

Pemandu mabuk minum alkohol buatan kilang, bukan ciptaan Orang Asli

BANGI, 11 Syawal 1441H, Rabu – Semua pihak diminta berhenti daripada memanipulasikan perayaan Gawai dan Kaamatan demi membenarkan penjualan alkohol secara komersial, tegas Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

Beliau berkata demikian sebagai mengkritik tindakan Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin yang meminta kerajaan mencari penyelesaian lebih saksama berhubung isu pemandu mabuk, sementara tidak menafikan hak orang lain untuk menggunakan alkohol secara wajar, terutama di sebuah negara pelbagai kaum dan budaya seperti Malaysia.

Alasan yang diberikan Foong Hin, pengeluaran minuman beralkohol dan penggunaannya adalah sebahagian daripada budaya Orang Asli di Sabah dan Sarawak, terutamanya ketika perayaan budaya seperti Kaamatan dan Gawai.

Difahamkan, beliau merujuk kepada kenyataan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bersedia menimbang cadangan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) membekukan lesen baharu penjualan arak berikutan semakin banyak kemalangan jalan raya berlaku membabitkan pemandu mabuk kebelakangan

Dr Rafidah menegaskan bahawa perayaan yang dinyatakan ahli DAP itu tidak ada kaitan dengan pemanduan mabuk.

Tegasnya, tingkah laku agresif pemandu mabuk di jalan raya tidak mengambil wain yang dihasilkan secara budaya oleh Orang Asli.

“Pemandu mabuk ini meminum bir dan alkohol yang dibuat secara komersial oleh kilang besar bir, yang pada masa lalu menaja OktoberFest yang selalu anda pertahankan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sejak kebelakangan ini, Malaysia dikejutkan dengan siri kejadian pemandu mabuk yang mana mendatangkan kebimbangan serta kemarahan banyak pihak memandangkan sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri peminum arak mengancam nyawa orang ramai.

Dalam kejadian terbaharu, seorang penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang disyaki pemandunya mabuk dalam kejadian di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala pusat bandar di ibu negara, hari ini.

Mangsa, Mohamed Zaili Mohamed, 44, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa selepas menghantar makanan yang diniagakan oleh isterinya.

Terdahulu, beberapa anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya nyaris dirempuh kenderaan yang dipandu lelaki dipercayai mabuk, berhampiran Queensbay, Bayan Lepas.

Sehari sebelum itu, seorang pekerja syarikat kurier maut dilanggar individu di bawah pengaruh alkohol di kilometer 34.2 Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur.

Sementara 22 Mei lalu, seorang lelaki memandu kenderaan pacuan empat roda secara berbahaya di sebuah tapak perniagaan di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor menyebabkan lima orang cedera, sekali gus mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.

Awal bulan lalu, seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) maut selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda, dipandu seorang lelaki yang disyaki mabuk.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close