Uncategorized

Isu arak: Syor henti jual kereta, DAP tak sensitif

Tiba masa ikut kehendak Islam, ketentuan Allah SWT adalah terbaik

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 12 Syawal 1441H, Khamis – Kenyataan Dr Kelvin Yii yang mencadangkan untuk menghentikan penjualan kereta kerana mengakibatkan kemalangan adalah sinis dan tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu mengulas kenyataan ketua penerangan PAS yang menggesa penggantungan penjualan arak di seluruh negara.

Ia berikutan kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk tidak ditangani secara serius.

Wakil rakyat daripada parti rasis dan cauvinis, DAP itu mendakwa, penggantungan permit menjual arak bukan penyelesaian kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk.

Kelvin berkata, apa yang menyedihkan apabila terdapat pihak yang cuba menjadikan kemalangan membabitkan pemandu mabuk sebagai isu perkauman.

“Ayuh henti menjual kereta kerana menyebabkan kemalangan. Henti juga menjual motosikal kerana menyebabkan mat rempit.

“Sedarkah kita kes kemalangan jalan raya sebelum ini tidak menjadi isu kaum,” katanya.

Menempelak perkara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya kecewa apabila kenyataan tidak bertanggungjawab itu keluar dari pemimpin parti politik.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan lndustri Makanan II berkata, Kelvin cuba memperlekehkan dan mempermainkan isu pemandu mabuk tanpa ada perasaan sensitif ke atas keluarga mangsa.

“Terutamanya keluarga-keluarga mangsa yang bertugas untuk negara dan tanpa apa-apa sebab yang kukuh dilanggar oleh pemandu mabuk,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Pada masa sama, Che Abdullah berkata, isu pemandu mabuk yang mengakibatkan kematian ramai orang semakin berleluasa disebabkan tiada disiplin diri.

Memberi contoh Amerika Syarikat (AS), beliau berkata, meskipun lebih ramai rakyat di negara itu yang mabuk, namun mereka mendisiplinkan diri dengan tidak memandu ketika mabuk.

“Apabila ke kelab malam, dari awal lagi mereka telah putuskan siapa yang akan mabuk dan siapa yang akan memandu.

“Maknanya mereka tidak akan memandu dalam keadaan mabuk. Jarang sekali kita dengar ada kemalangan maut yang melibatkan pemandu mabuk di sana.

“Ini kerana mereka ada kesedaran risiko bahawa nyawa orang lain begitu berharga dan ‘drunk driving’ adalah satu kesalahan besar hingga boleh digantung lesen seumur hidup,” katanya.

Selain itu, katanya, sudah tiba masanya kerajaan Malaysia mempertimbangkan sesuatu yang bertepatan dengan kehendak agama.

Ia sebagaimana yang dituntut oleh sebahagian besar rakyat negara ini yang sensitif terhadap isu pemandu mabuk, atas keyakinan bahawa undang-undang atau peraturan-peraturan yang ditentukan oleh Allah SWT adalah terbaik untuk manusia seluruhnya tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

Beliau berkata, semua perkara yang dilarang oleh Allah SWT mempunyai lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

“Dalam soal arak, walaupun mungkin ada pulangan ekonomi tetapi keburukannya sangat besar.

“Ditambah pula dengan kematian-kematian petugas barisan hadapan yang terkorban disebabkan pemandu mabuk.

“Perkara ini sentiasa berlaku, ramai orang-orang yang tidak bersalah termasuk pelajar-pelajar sekolah dirempuh pemandu mabuk,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button