Berita Utama

Kerana suapan RM1,000, koperal polis direman lima hari

Suspek tahan pasangan suami isteri sebelum minta wang rasuah

KOTA BAHRU, 11 Syawal 1441H, Rabu – Seorang anggota polis trafik berpangkat Koperal direman lima hari, kerana dipercayai meminta dan menerima suapan sebanyak RM1,000 daripada seorang individu, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap isteri lelaki itu yang menggunakan pas lawatan sosial yang sudah tamat tempoh.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Nor Faezah Abdullah membenarkan suspek direman lima hari bermula hari ini sehingga 7 Jun, selepas permohonan tersebut dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Semalam, SPRM Kelantan telah menahan suspek berusia 40 tahun itu pada kira-kira jam 11 malam di Pejabat SPRM Kelantan, selepas menerima aduan bahawa suspek menahan pasangan suami isteri terbabit, sebelum meminta wang rasuah daripada mereka.

Menurut sumber, penahanan kali ini adalah kes yang kelima membabitkan pasukan polis di negeri ini sejak 23 Februari lalu.

Semua kes membabitkan sembilan pegawai dan anggota polis yang berpangkat Koperal hingga Asisten Supritendan (ASP).

“Pada 23 Februari lalu, SPRM menahan lima anggota polis di Kota Bharu, kerana meminta rasuah berjumlah RM3,000 bagi melepaskan kes berkaitan dadah dan pada April pula seorang lagi anggota polis di Pasir Puteh telah ditahan, atas kesalahan meminta wang rasuah berjumlah RM4,000, bagi melepaskan suspek kes memiliki air ketum.

“Kes ketiga pula, pada awal Mei, membabitkan seorang anggota di Pasir Mas turut ditahan SPRM kerana menerima wang rasuah RM100, daripada seorang individu yang menggunakan cukai jalan yang dipercayai palsu.

“Seterusnya pada 1 Jun lalu, seorang pegawai polis berpangkat ASP ditahan bagi membantu siasatan dakwaan meminta rasuah sebanyak RM30,000, daripada seorang individu bagi menyelesaikan kes samun,” ujarnya.

Sementara itu Pengarah SPRM Kelantan Rosli Husain, ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan-tangkapan tersebut, tetapi enggan mengulas lanjut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close