Uncategorized

Mengapa AS gagal tangani COVID-19, rusuhan George Floyd

Kemajuan, kemodenan, ketamadunan tak boleh dinilai dari material

BELUM sempat kerajaan Amerika Syarikat (AS) meredakan pandemik COVID-19, timbul pula isu George Floyd yang menyebabkan rusuhan dan ketegangan kaum berlaku di bandar-bandar dalam AS.

Harta awam dirosakkan, kedai-kedai dibakar, serta pejabat kerajaan diserbu oleh perusuh.

Sedangkan baru sahaja tahun lepas 2019, terdapat sebuah statistik yang dikeluarkan oleh Global Health Security Index yang menyatakan bahawa, AS adalah negara yang paling bersedia jika berlakunya “pandemic outbreak”.

Kajian ini lebih memfokuskan kepada kelengkapan perubatan dan bilangan pegawai kesihatan yang ada dalam sesebuah negara.

Namun hakikatnya seperti yang semua sudah maklum. Hingga tarikh 3 Jun 2020, jumlah kes COVID-19 di AS sudah mencecah 1.8 juta kes, dan jumlah kematian pula mencecah sekurang-kurangnya lebih 100,000.

Jika difikirkan, bagaimana sebuah negara maju, yang menjadi kiblat kepada pemikiran liberalisme dan hak asasi manusia, serta diiktiraf sebagai negara paling bersedia menghadapi pandemik boleh berhadapan dengan situasi kritikal yang melibatkan COVID-19 dan rusuhan George Floyd ini?

Di sinilah masalahnya timbul, iaitu kefahaman terhadap hakikat dan tabiat manusia.

Ini adalah pembolehubah yang mungkin tidak diambil kira apabila mereka mendefinisikan kemajuan, hak asasi dan kesediaan menghadapi pandemik.

Disebabkan itu, apabila kemelut yang sebenar timbul, data serta statistik yang ada bercanggah sama sekali dengan realiti yang berlaku.

NILAI KEMANUSIAAN ADALAH PADA AGAMANYA

Persoalan mengenai hakikat manusia adalah persoalan evergreen yang sudah dibincangkan oleh ahli agama dan falsafah sejak dahulu lagi.

Apakah elemen yang menjadikan seseorang itu manusia dan membezakannya dengan makhluk lain?

Menurut Plato, erti kemanusiaan adalah pada ilmu pengetahuan.

Aristotle pula berpendapat bahawa kemanusiaan itu diertikan dengan eudaimonia (kebahagiaan), di mana seseorang itu melakukan perbuatan secara rasional berpandukan kepada nilai-nilai moral (acting rationally according to virtue).

Aristo meletakkan definisi yang menarik, tetapi ianya dilihat terhad kepada aspek rasional manusia.

Benar, mahiyah manusia itu adalah pada akal dan rasional. Namun menghadkan takrif kemanusiaan hanya kepada perbuatan rasional dan moral, dilihat menyempitkan skop insan yang luas spektrumnya.

Erti kemanusiaan sebenar terletak pada agama.

Integrasi wahyu-akal yang memberikan panduan kepada manusia, bagaimana untuk menjadi insan yang sebenar.

Insan yang kemuliaannya bukan pada warna kulit, tetapi kepada ketakwaan.

Integrasi wahyu-akal juga yang memberikan guideline dalam kepada manusia dalam berinteraksi dengan pandemik, walaupun dalam keadaan kemudahan kesihatan yang sederhana.

Kefahaman yang betul terhadap hakikat dan tabiat manusia ini akan memberikan kita solusi yang tepat kepada sesuatu masalah.

Liberalisme yang dianuti oleh AS, walaupun secara permukaannya memuliakan manusia, tetapi ia tidak dapat menghapuskan rasisme serta tidak dapat menyelamatkan mereka daripada pandemik yang menular.

Bahkan disebabkan hak asasi palsu inilah mereka dilanda kemelut yang tidak berkesudahan.

Atas sebab itu, penilaian kita kepada kemajuan, komodenan, kelestarian ekonomi, dan ketamadunan tidak boleh sekadar berpandukan aspek material semata-mata, tetapi ia perlu mendasar kepada hakikat dan tabiat manusia, kerana manusia merupakan asas utamanya.

Negara majoriti muslim juga perlu kembali kepada penilaian sebegini dan tidak boleh terus mengikut model Barat yang sedia ada.

Amar Ismat Mohd Nasir
Setiausaha PEMIKIR

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button