Berita Utama

PAS gesa siasat kemungkinan Guan Eng salah guna kuasa

22 bulan PH perintah, kes kait DAP, Menteri Kewangan digugurkan

BANGI, 11 Syawal 1441H, Rabu – PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera membuka kertas siasatan terhadap kemungkinan salah guna kuasa oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sepanjang tempoh menjadi Menteri Kewangan. 

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, gesaan itu berikutan pendedahan kandungan surat dari Guan Eng kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang tular di media sosial sejak, semalam. 

Beliau berkata, surat berkenaan mencetuskan tanda tanya berhubung kes membatalkan arahan pembekuan empat akaun bank milik seorang taikun hartanah bergelar Tan Sri. 

“Dilaporkan bekas Peguam Negara itu, bertindak atas permintaan Lim Guan Eng dengan mengarahkan SPRM untuk melaksanakannya sekitar bulan Mei 2019.

“Sekiranya isi kandungan surat ini benar, ia jelas Lim Guan Eng berkemungkinan menggunakan kedudukan beliau sebagai Menteri Kewangan dan hubungan dengan Tommy Thomas untuk melepaskan akaun milik taikun berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Semalam, tular salinan surat yang didakwa ditulis oleh Tommy kepada Guan Eng.

Dilaporkan, surat bertarikh 14 Jun 2019 itu mengandungi maklum balas Tommy terhadap permohonan Guan Eng pada 31 Mei supaya pembekuan terhadap empat akaun bank milik seorang taikun dibatalkan. 

Dalam surat itu, Tommy menjelaskan bahawa pembekuan empat akaun terbabit dilakukan ekoran siasatan SPRM terhadap 21 cek dengan jumlah keseluruhan RM4,085,561 yang dipercayai dari sumber-sumber meragukan dan melanggar undang-undang. 

Sehubungan itu, Kamaruzaman menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang.

Katanya, sebelum ini Tommy telah menggugurkam kes Guan Eng berkaitan tuduhan rasuah pembelian banglo oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. 

“PAS menggesa satu tindakan susulan harus dilakukan pada kadar segera bagi melihat sebarang unsur menutup kes tertentu yang sudah pastinya membuka jalan kepada unsur rasuah atau penyalahgunaan kuasa semasa mereka menerajui kerajaan sebelum ini.

“PAS memandang serius perkara ini memandangkan sepanjang 22 bulan PH memerintah, pelbagai kes khasnya terkait secara langsung dengan DAP dan Menteri Kewangan yang digugurkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button