Berita UtamaIstimewa

Pemandu mabuk: ‘Undang-undang kuno saja masih raikan arak’

Taiwan kenakan hukuman mati ke atas individu mabuk sebabkan kematian

BANGI, 11 Syawal 1441H, Rabu – Hanya undang-undang lapuk dan kuno sahaja yang masih meraikan arak untuk dipromosi, dijual serta diminum sesuka hati, kata Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin.

Beliau berkata, daripada undang-undang lapuk itu juga individu yang bersalah menyebabkan kematian akibat mabuk dikenakan hukuman ringan, kononnya kesalahan tidak disengajakan dan meminum arak adalah hak bagi bukan Islam.

Merujuk beberapa insiden kemalangan maut yang berpunca daripada kecuaian pemandu mabuk kebelakangan ini, Prof Zainur Rashid menegaskan jenayah berat seumpama itu memerlukan kepada hukuman yang juga berat.

Beliau berkata, seorang pemandu mabuk yang telah menyebabkan kematian tiga nyawa di Amerika Syarikat dikenakan hukuman penjara selama 50 tahun, manakala Taiwan mengenakan hukuman mati ke atas individu yang memandu dalam keadaan mabuk dan menyebabkan kematian.

“Arak adalah ibu bagi segala kejahatan. Daripada arak lahirnya penzinaan, rogol, pergaduhan, penderaan ahli keluarga dan seribu satu macam jenayah dan penyakit yang melibatkan mental, fizikal dan masalah sosial negara.

“Adakah sesiapa boleh menafikan bahawa arak bukan sahaja diharamkan oleh agama Islam, bahkan juga agama Kristian, Buddha dan Hindu?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, seorang kakitangan Alam Flora maut dilanggar seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk dan berbahaya di Jalan Pintasan Kuantan.

Tidak lama kemudian, seorang penghantar makanan dilaporkan maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang dipandu oleh lelaki dipercayai mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, Kuala Lumpur. 

Dalam insiden berasingan, seorang lelaki turut retak tempurung kepala kerana dilanggar pemandu mabuk di Jalan Raja Syed Raffi, Bintong, Kangar, Perlis.

 

 

 

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close