Uncategorized

Penduduk Palestin lancar protes lelaki autism ditembak Zionis

Polis Israel enggan dengar amaran pengasuh Eyad bahawa mangsa cacat

BAITULMAQDIS, 11 Syawal 1441H, Rabu – Penduduk Palestin di Timur Baitulmaqdis telah mengadakan protes besar-besaran, semalam, susulan berang akan tindakan biadab polis Israel menembak mati seorang lelaki Palestin.

Eyad el Hallah, 32, yang juga penghidap autism dikejar dan dibunuh pada Sabtu lalu.

Difahamkan, punca pembunuhan adalah disebabkan Eyad telah membawa sepucuk pistol dan polis Israel telah menembaknya ketika beliau melarikan diri, selain arahan untuk berhenti tidak diendahkan.

Sementara itu, keluarga Eyad berkata, beliau tidak memahami arahan polis untuk berhenti.

Beliau ditembak sebanyak dua kali di dada setelah panik mendengar jeritan polis Israel.

Ketika kejadian, pengasuh Eyad, Warda Abu Hadid turut memberi amaran kepada polis Israel selain menempik bahawa Eyad menghidapi autism dan tidak memahami arahan, namun amaran itu tidak didengari.

“Saya menjerit, dia cacat, cacat! Tunggu sebentar, ambil dan periksa kad pengenalannya.

“Tiba-tiba mereka melepaskan tiga peluru ke arahnya di hadapan mata saya. Saya sudah beri amaran untuk tidak tembak Eyad tetapi mereka tak mendengar dan tidak mahu mendengar, “ katanya kesal.

Eyad menderita penyakit autism sejak kecil dan menghadapi masalah untuk berkomunikasi dengan orang lain.

Sepupunya, Dr Hatem Awiwi berkata, Eyad tidak tahu pengertian tentera dan senjata.

“Malah, dia juga tidak tahu kewujudan Yahudi dan situasi yang berlaku di negara ini,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button