Berita Utama

Polis rampas minyak masak, serbuk teh di stor haram

Dipercayai jadi stor transit seludup barangan ke negara jiran

TUMPAT, 11 Syawal 1441H, Rabu – Sejumlah 2,992 kilogram minyak masak dan serbuk teh bernilai RM22,940, yang disembunyikan di sebuah stor berhampiran pangkalan haram Kodi, di sini, dirampas dalam Operasi Benteng Laut, tengah malam tadi.

Komander PPM Wilayah Tiga ACP Norzaid Muhammad Zaib berkata, stor itu dipercayai dijadikan sebagai stor transit, untuk barang-barang yang akan diseludup ke negara jiran.

“Polis percaya barang-barang itu dibawa masuk sedikit demi sedikit, untuk disimpan di stor itu sebelum dihantar ke lokasi tertentu,” katanya pemberita di Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubur di sini, hari ini.

Beliau berkata, minyak masak yang dirampas itu bernilai RM7,480, manakala 67 kotak dan 10 guni serbuk teh, bernilai RM15,460.

Kesemua barang yang dirampas itu diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), untuk tindakan dan dua laporan polis dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, serta Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011.

Norzaid berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Fasa 1 hingga Fasa 5, PPM Pengkalan Kubur merekodkan 23 kes rampasan pelbagai jenis barang, antaranya beras, minyak masak, daun ketum, tembakau, kain tudung, dan produk makanan, dengan nilai rampasan RM442,769. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button