Berita Utama

Salinan surat Tommy kepada Guan Eng tular

Mohon pembekuan akaun bank taikun bergelar Tan Sri dibatalkan

BANGI, 11 Syawal 1441H, Rabu – Semalam tular salinan surat yang didakwa ditulis oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Portal PN BBC melaporkan, surat bertarikh 14 Jun 2019 itu mengandungi maklum balas Tommy terhadap permohonan Guan Eng agar pembekuan terhadap empat akaun bank milik seorang taikun hartanah bergelar Tan Sri dibatalkan.

Setiausaha Agung DAP itu mengemukakan permohonan tersebut secara bertulis melalui surat bertarikh 31 Mei 2019.

Dalam surat tersebut, Tommy menjelaskan bahawa pembekuan empat akaun terbabit dilakukan ekoran siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap 21 cek dengan jumlah keseluruhan RM4,085,561 yang dipercayai dari sumber-sumber yang meragukan dan melanggar undang-undang.

Siasatan dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

Beliau menyatakan, berdasarkan maklumat daripada SPRM, semua 21 cek dimasukkan ke dalam salah satu akaun bank terbabit dan semasa pembekuan dilakukan, bakinya hanyalah RM76,645.64.

“Jumlah yang terlibat dalam pembekuan di bawah akta tersebut adalah RM76,645.64 walaupun deposit dari sumber yang tidak sah melebihi RM4 juta dan siasatan tidak menemukan sebarang transaksi meragukan dalam tiga akaun bank yang lain.

 

“Sehubungan itu, wang dari tiga akaun yang lain tidak boleh dirampas untuk menampung kekurangan baki,” jelasnya.

Tommy menambah, taikun hartanah terbabit bersetuju untuk memulangkan sebanyak RM330,384 pada 26 Oktober 2018 yang dikatakan mempunyai kaitan dengan skandal SRC International.

Beliau menyatakan, tindakan itu adalah hasil persetujuan Tan Sri berkenaan dan SPRM dan ia mesti dihormati.

“Wang berjumlah RM330,384 itu telah dibayar kepada SPRM,” katanya.

Tommy juga telah mengarahkan SPRM untuk menarik balik semua arahan pembekuan terhadap akaun-akaun bank milik taikun hartanah itu secepat mungkin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button