Berita Utama

Seksyen 302 wajar digunakan dalam kes pemandu mabuk

Namun ia memerlukan satu pembuktian kes lebih tinggi

KUALA LUMPUR, 11 Syawal 1441H, Rabu – Menggunakan Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk kes pemandu mabuk yang menyebabkan kematian adalah wajar namun memerlukan satu pembuktian yang lebih tinggi, kata seorang pakar perundangan.

Pakar Undang-undang dan Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata Kanun Keseksaan boleh digunakan untuk semua jenis kematian termasuk kes pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

“Di dalam Seksyen 300 yang dibaca dengan 302 Kanun Keseksaan itu antara lain ia memerlukan niat untuk membunuh ataupun mengetahui perbuatannya itu akan menyebabkan berlakunya kematian. Ini menyebabkan pembuktian di bawah Kanun Keseksaan itu adalah berat dan sukar,” katanya kepada Bernama.

Pada Isnin, di Mahkamah Majistret Kuantan, seorang lelaki yang memandu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol didakwa atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang memandu kenderaan pacuan empat roda itu didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran stesen minyak Petronas di Jalan Pintasan Kuantan pada 25 Mei yang menyebabkan kematian seorang penyelia Alam Flora Sdn Bhd, Irwan Herman, 41.

Menjelaskan lagi tentang pertuduhan di bawah Sekyen 302 itu, Shamrahayu berkata ia boleh digunakan sekiranya kenderaan yang dipandu itu adalah sebagai alat untuk membunuh namun pembuktiannya lebih tinggi dan sukar.

Oleh itu menurut beliau, satu peruntukan yang khusus dalam Akta Pengangkutan Jalan diperlukan supaya memudahkan pembuktian dan meringankan beban pembuktian.

“Bukti-bukti yang dibawa pihak berkuasa atau pendakwa dalam peruntukan Akta Pengangkutan Jalan itu berbeza dengan bukti-bukti yang diperlukan bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Langkah kerajaan untuk merangka pindaan di bawah Sekyen 44 Akta 333 di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu sangat bertepatan untuk menjadikan hukuman itu setimpal dengan kesalahan atau kematian yang berlaku kerana memandu dalam keadaan mabuk, katanya.

Namun katanya, hukuman mandatori atau bukan mandatori bergantung kepada dasar perundangan negara.

Shamrahayu berkata kerajaan perlu melihat semula keseluruhan isu arak dan bukan sahaja untuk menangani isu pemandu mabuk.

Kerajaan perlu melakukan tindakan yang tegas, cepat dan berkesan supaya keadilan boleh dirasai oleh pihak yang tidak bersalah dalam kes kematian yang disebabkan pemandu mabuk.

Cadangan penggantungan dan pengeluaran arak di negara ini adalah satu pilihan yang kerajaan ada pada ketika ini sehinggalah kerajaan mengambil langkah yang amat konkrit dan tegas bagi menangani isu kematian disebabkan pemandu mabuk, katanya.

Antara langkah yang dicadangkan, kerajaan boleh menyediakan dasar berkaitan penjualan dan penggunaan arak dengan menetapkan masa penjualan atau sekatan masa penjualan kepada orang awam agar jualan arak terkawal.

“Kerajaan boleh mengambil alternatif menetapkan kawasan larangan penggunaan arak seperti yang diamalkan oleh beberapa negara lain yang didapati berkesan terutamanya sekatan penjualan arak dan kawasan sekatan penggunaan arak.

“Kerajaan juga perlu meneliti undang-undang tentang arak secara keseluruhannya terutama undang-undang berkaitan makanan, Akta Kastam, Akta Eksais, undang-undang perlesenan dan permit jualan arak,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close