Berita Utama

Taska boleh mula beroperasi, ikut panduan diberikan

Panduan telah dibentang, mendapat kelulusan dari KKM

PUTRAJAYA, 11 Syawal 1441H, Rabu – Taska-taska sudah boleh beroperasi dengan berpandukan kepada Panduan Pencegahan Penularan COVID-19, Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Keselamatan Warga Taman Asuhan Kanak-kanak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, panduan itu telah dibentangkan dan mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan (KKM), serta telah ditambah baik dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak, dan demi kesejahteraan mereka yang terlibat.

Menurutnya, panduan yang dibangunkan itu meliputi panduan menyeluruh pengoperasian taska, bermula daripada persediaan untuk membuka semula taska, semasa taska beroperasi, dan selepas selesai sesi harian tersebut.

“Pengusaha taska adalah dinasihatkan agar merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan terlebih dahulu, bagi dibuat verifikasi sebelum mula beroperasi,” katanya.

Bagi memastikan agar pengusaha taska mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tersebut, Rina berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan KKM, akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa ke atas taska yang telah mula beroperasi.

“Diharapkan dengan pembukaan semula taska ini, dapat memberi kelegaan kepada para ibu bapa yang berkerja, yang sebelum ini terkesan dengan penutupan taska akibat pandemik COVID19 dan PKP,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close