Dunia

Taufan Nisarga: 100,000 dipindahkan ke lokasi selamat

Burukkan lagi usaha pulih ekonomi India terjejas akibat COVID-19

MUMBAI, 11 Syawal 1441H, Rabu – Sekurang-kurang 100,000 orang, termasuk pesakit COVID-19 dipindahkan ke lokasi lebih selamat berikutan ancaman taufan Nisarga yang dijangka membadai Pantai Barat India. 

Taufan berkenaan akan menyebabkan hujan lebat dan angin kencang sehingga 120 kilometer sejam, yang disenarai sebagai taufan kategori empat berhampiran bandar Alibagh, Selatan Mumbai – yang mempunyai 18 juta penduduk. 

Laporan media mengatakan, Nisarga adalah taufan terburuk yang pernah melanda wilayah itu dalam tempoh lebih daripada 70 tahun lalu. 

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesediaan Mumbai dan kawasan sekitarnya berdepan bencana berkenaan. 

Taufan berkenaan akan memburukkan lagi usaha pemulihan ekonomi ketika negara di fasa terakhir mengenakan perintah berkurung setelah sembilan minggu memerangi wabak COVID-19. 

Akibat daripada amaran ribut taufan itu, pelabuhan kontena terbesar di India, Jawaharlal Nehru Port Trust di Mumbai diarahkan tutup selama 24 jam. 

Pihak berkuasa telah mengerah 32 pasukan penyelamat dan seramai 1,500 anggota bersedia di negeri yang dijangka terjejas untuk tujuan pemindahan serta bantuan. 

Nisarga adalah taufan kedua yang menyerang India dalam tempoh kurang dua minggu. 

Pada 21 Mei, taufan Amphan memusnahkan Pantai Timur negara itu termasuk Kolkata serta negara jiran, Bangladesh sehingga mengorbankan lebih 100 nyawa. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button