Berita Utama

Terengganu benar haiwan korban rentas negeri

Sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha, Julai depan

KUALA TERENGGANU, 11 Syawal 1441H, Rabu – Kerajaan Terengganu membenarkan pindahan ternakan korban merentasi daerah dan antara negeri sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha, Julai depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim menjelaskan, peraturan biasa terutama permohonan permit untuk pindahan ternakan merentasi daerah dan negeri perlu diperolehi daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.

Jelasnya, JPV negeri akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan pelaksanaan ibadat korban dapat dilakukan tanpa membelakangkan peraturan seperti ditetapkan kerajaan.

“Sebagai makluman awal, sukacita dimaklumkan bahawa hasrat kerajaan negeri dan JPV adalah supaya ibadat korban dibenarkan pelaksanaannya pada hari raya korban, Julai depan.

“SOP termasuk lokasi penyembelihan sama ada di rumah sembelihan, di kawasan masjid atau surau sedang diteliti JPV negeri dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi menjelaskan, JPV negeri juga sedang meneliti dan menyediakan SOP bagi memastikan pelaksanaan ibadat korban dilakukan tanpa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan kerajaan.

Jelasnya, permohonan untuk mendapatkan permit rentas daerah dan negeri ternakan korban boleh dibuat di semua pejabat JPV daerah.

“Bagi memastikan penjarakan sosial dan mengelakkan perhimpunan secara berkumpulan berlaku ketika proses permohonan permit, temu janji perlu dilakukan,” jelasnya.

Dr Azman menegaskan, lembu atau ternakan korban akan menjalani proses pemeriksaan bertujuan memastikan ternakan bebas wabak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button