Tuntutan palsu: Bekas pengarah institut penyelidikan direman 6 hari
2 lagi ditahan bersubahat kemuka tuntutan palsu hampir RM70,000

KUALA TERENGGANU, 11 Syawal 1441H, Rabu – Seorang bekas pengarah institut penyelidikan ditahan reman selama enam hari, bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan palsu berkaitan kerja-kerja di institut berkenaan, bernilai hampir RM70,000.
Perintah reman terhadap lelaki berumur 56 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Ab Karim @ Isa.
Turut dikenakan perintah reman yang sama adalah tiga lelaki berumur lingkungan 42 hingga 63 tahun, yang juga pengurus syarikat pembekal.
Menurut sumber bekas pengarah itu disyaki bersubahat, mengemukakan lapan tuntutan palsu berkaitan kerja-kerja di institut penyelidikan berkenaan, berjumlah hampir RM70,000 sepanjang tahun 2018, iaitu semasa dia menjawat jawatan berkenaan.
Kesemua suspek ditahan kira-kira 10 pagi semalam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Terengganu.
Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi. -Bernama