Berita Utama

277 kes COVID-19 hari ini, hanya 4 penularan tempatan

Dua kes import warganegara dapat jangkitan di luar negara

PUTRAJAYA, 12 Syawal 1441H, Khamis – Jumlah jangkitan kes positif COVID-19 baharu yang dilapor hari ini kembali melonjak ke tiga angka kepada 277 kes, dengan 271 kes melibatkan bukan warganegara Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara Malaysia hanya melibatkan empat kes selain terdapat dua kes import warganegara Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Dua ratus tujuh puluh kes dalam kalangan bukan warganegara adalah dari Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, dan ia merupakan sampel ulangan bagi Orang Kena Tahan (OKT) yang dikuarantin di depot tahanan ini.

“Mereka terdedah kepada kes positif sebelum ini. Sementara satu kes bukan warganegara adalah saringan di tapak pembinaan di Pudu,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19 di sini hari ini.

Kali terakhir kes positif COVID-19 di negara ini mencatat tiga angka adalah pada 26 Mei, melibatkan 187 kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button