Berita Utama

RUU Penggal Tetap hanya untuk ahli politik takut hilang kuasa

Syor Zahid bukan saja kekang suara MP, malah budi bicara Agong

BANGI, 4 Rejab 1445H, Selasa – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil menyifatkan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Penggal Tetap yang disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukanlah untuk menjaga kepentingan rakyat.

Sebaliknya, beliau melihat cadangan itu hanya untuk kepentingan diri segelintir ahli-ahli politik dalam kerajaan, termasuk Ahmad Zahid yang mungkin takut kehilangan kuasa dan kembali berdepan pendakwaan di mahkamah.

Tidak bersetuju dengan cadangan itu, Isham yakin RUU itu akan menghalang kebebasan wakil rakyat di Parlimen menukar Perdana Menteri dan kerajaan di tengah penggal sekiranya pemerintahan sedia ada gagal mentadbir negara dengan baik serta kehilangan sokongan.

“Ini boleh menyebabkan keadaan di mana Perdana Menteri dan kerajaan menjadi leka untuk melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap rakyat dan negara dengan cekap dan amanah; keadaan ini tidak baik untuk rakyat.

“Ia juga boleh membuka ruang kepada salah guna kuasa oleh Perdana Menteri dan kerajaan apabila mereka tahu mereka akan kekal memegang kuasa sehingga habis penggal walaupun mereka gagal, tidak buat kerja, terlibat rasuah atau sebagainya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Ahmad Zahid supaya satu RUU bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.

Ahmad Zahid dilaporkan mendakwa, penubuhan RUU itu bagi memastikan peristiwa sebelum ini seperti pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang.

Bagaimanapun, Isham berkata, Perlembagaan Malaysia membenarkan pertukaran di tengah penggal jika Perdana Menteri sedia ada tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat pada hemat Yang di-Pertuan Agong.

“RUU yang dicadangkan Timbalan Perdana Menteri ini bukan sahaja mengekang suara rakyat dan wakil-wakil rakyat di Parlimen, tetapi juga mengekang kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk menukar Perdana Menteri yang pada hemat baginda telah hilang sokongan wakil rakyat di tengah penggal.

“Sekiranya Perdana Menteri dan kerajaan gagal mentadbir dan mengakibatkan kesengsaraan rakyat, adalah memudaratkan jika rakyat dan Yang di-Pertuan Agong perlu menunggu hingga habis penggal untuk menukar mereka,” katanya.

Beliau berkata, semak imbang kerajaan oleh rakyat dan ahli Parlimen perlu dilakukan secara berterusan serta bukan hanya setiap lima tahun dalam pilihan raya umum (PRU) semata-mata.

“Jika rakyat susah dan tidak makan akibat kegagalan kerajaan, mereka tidak boleh tunggu lima tahun. Sebab itu peruntukan Perlembagaan selama ini membenarkan pertukaran Perdana Menteri dan kerajaan di tengah penggal.

“RUU yang digubal di Parlimen perlu dibuat untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk menyelamatkan tengkuk segelintir ahli politik dalam kerajaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button