Berita Utama

Bilangan jemaah solat Jumaat di Kedah kekal 12

MKI adakan perbincangan sebelum persembah pada Sultan Kedah: Mufti

ALOR SETAR, 12 Syawal 1441H, Khamis – Kerajaan negeri Kedah masih mengekalkan bilangan jemaah seramai 12 orang bagi solat Jumaat di masjid.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, jemaah itu terdiri daripada imam dan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid sahaja.

Beliau berkata, pihaknya belum membuat sebarang keputusan berhubung penambahan bilangan jemaah kepada 40 orang seperti di Kelantan dan Sabah.

“Kita akan menunggu sehingga kerajaan membuat pengumuman berhubung keadaan terkini coronavirus (COVID-19) pada Sabtu ini,” katanya.

Manakala, Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan Malaysia (MKI) pula akan diadakan pada 9 Jun bagi membincangkan isu ini termasuk isu-isu berkaitan.

“Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah akan mengadakan perbincangan untuk memuktamadkan keputusan MKI di peringkat negeri sebelum dipersembahkan bagi mendapat perkenan Sultan Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian seperi dilapor Sinar Harian, bagi memperjelas kekeliruan berhubung dakwaan orang ramai bahawa Kedah membenarkan solat Jumaat seramai 40 orang bermula esok.

Terdahulu, Sabah dan Kelantan memberi kebenaran untuk 40 jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid yang dibenarkan seluruh negeri bermula 5 Jun ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, penambahan bilangan jemaah daripada 12 orang kepada 40 orang terdiri daripada Imam Tua, Imam Muda, Bilal, Siak, Ahli Jawatankuasa masjid dan anak-anak mukim yang terpilih setelah mendapat pandangan Mufti Negeri Kelantan dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close