Berita Utama

Bubar saja Parlimen jika PH terus rebut kuasa

Najib sindir PH, kenapa fobia dengan PRU walhal 'janji tak capati'

BANGI, 12 Syawal 1441H, Khamis – Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mengesyorkan supaya Parlimen dibubar bagi mengembalikan mandat rakyat melalui pilihan raya, jika Pakatan Harapan (PH) terus merebut kuasa dengan cubaan untuk menumbangkan kerajaan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan itu adalah cara yang paling adil bagi semua pihak dan paling sesuai untuk menyelesaikan kemelut politik.

Ia juga dapat memastikan kerajaan lebih kukuh dan stabil untuk melawan krisis ekonomi COVID-19, kata Najib.

Justeru, Najib berkata, beliau tidak dapat memahami punca Pakatan Harapan (PH) terutama Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bertindak menempelak cadangan bagi mengadakan PRU, sedangkan ‘track record’ mereka baik.

“Kenapa PH sangat fobia dengan PRU? Rekod baik, janji tak capati, prestasi menteri 100 peratus top, ekonomi cemerlang masa PH kan? Rakyat sokong 200 peratus kan? Kenapa takut pula?

“Bukan gerenti pun PH akan kalah kerana track-rekod 22 bulan mereka adalah amat bagus dengan kononnya ‘50 jasa-jasa PH’,” kata Najib yang kini masih berdepan dengan pertuduhan di mahkamah. 

Terdahulu, Hannah berkata, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal apabila cadangan seperti mengadakan PRU datang daripada Najib Razak. 

Katanya, ia adalah bukti paling jelas betapa Najib telah meletakkan kepentingan politiknya mengatasi kepentingan negara. 

Malah, Hannah mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sulaya menasihati Ahli Parlimen supaya berhenti meruntuhkan pemerintahan majoriti tipisnya.

Walhal, kata Najib, tidak sampai satu minggu yang lalu, PH sendiri mengatakan bahawa mereka akan menumbangkan kerajaan sebelum bulan depan seperti dilapor portal tempatan dengan tajuk “30 Mei 2020: Peralihan kerajaan mungkin sebelum sidang Parlimen pada Julai – Salahuddin”

“Hannah tak nampak itu pula? Kalian yang tak habis-habis rebut kuasa sehingga kerajaan tak stabil. 

“Saya cuma cadangkan cara penyelesaian paling adil pada rakyat tapi saya pula yang dituduh letak kepentingan politik melebihi negara? Gila betul, PH,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close