COVID-19: Pakistan catat 85,189 kes
Pakistan duduki tangga ke-17, rekod 1,770 maut, 30,128 sembuh

KARACHI, 12 Syawal 1441H, Khamis – Jumlah kes COVID-19, di Pakistan kini mengatasi China, selepas negara ini mencatatkan sebanyak 85,189 jangkitan pada Khamis, lapor agensi berita Anadolu, memetik Kementerian Kesihatan.
China melaporkan 82,933 kes dan 4,638 kematian sejak wabak mula dikesan pada Disember lalu, menurut data Johns Hopkins University.
Di Pakistan, sejumlah 4,688 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, kenaikan tertinggi dalam tempoh sehari setakat ini, menjadikan negara ini menduduki tempat ke-17 dalam jumlah kes.
Seramai 1,770 orang maut, pertambahan sebanyak 82 lagi kematian manakala 30,128 lagi pesakit sembuh.
Menurut statistik rasmi, pihak berkuasa setakat ini telah menjalankan 615,511 ujian saringan COVID-19. -Bernama