Berita UtamaPendapat

Kapitalisme bermakna puak kapitalis kawal pihak berkuasa

Tiada sogokan mampu goyangkan prinsip jika patuh arahan 'langit'

MANUSIA itu hamba. Kalau dia tak sembah Allah, dia sembah benda lain.

Sembah bukan tunggu sujud. Sesuatu yang dijadikan matlamat hidup dan paksi kehidupan, sehingga melahirkan kepatuhan dan keakuran total demi memenuhi tuntutannya; itulah sembahan.

Tidak akan ada kebebasan hakiki bagi rakyat Amerika Syarikat (AS) khususnya, dan dunia amnya, apabila mereka menyembah wang dan hawa nafsu.

Fenomena George Floyd dan “I can’t breathe” tidak akan ke mana.

Ini kerana fenomena dan sistem yang menjadikan wang dan hawa nafsu sebagai sembahan, akan menyebabkan manusia menyembah manusia.

Bukan sekadar fenomena dan sistem, malah sudah menjadi darah daging, justeru kejadian ‘looting’ itu ibarat orang lapar disorongkan makanan.

Lihatlah rakyat marhaen bangkit selepas teruk ditindas (diperhambakan), namun segelintir taikun dan korporat gergasi penguasa sebenar AS tak terjejas walau sebesar hama, dalam cara hidup kapitalisme.

Manusia memperhambakan manusia kekal di Amerika, walaupun sistem perhambaan sudah dihapuskan sejak sekian lama.

Malah kapitalisme AS memperluaskan golongan hamba, bukan sekadar orang kulit hitam.

Sama juga di Malaysia. Kapitalisme yang menyebabkan kedai makan dan masjid mudah ditutup untuk jaga nyawa, tetapi kedai jual arak sukar, atas alasan yang sama.

Kewujudan kapitalis, tiada salahnya. Tetapi kapitalisme itu maknanya puak kapitalis mengawal keputusan pihak berkuasa.

Hanya apabila manusia tunduk secara menyeluruh kepada pihak Pencipta, yang bukan manusia, bukan wang, bukan hawa nafsu, barulah manusia menemui jalan penyelesaian dan membebaskan diri daripada diperhambakan sesama manusia.

Apabila manusia hanya patuh arahan dari langit (wahyu), tiada sogokan yang mampu menggoyangkan prinsipnya.

Adakah pemimpin kita lebih patuh arahan langit? Bergantung pada masyarakat yang melahirkannya.

Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman
Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button