Uncategorized

Kes rasuah: 2 anggota polis direman

Minta wang rasuah elak ambil tindakan ke atas peniaga kedai vape

GEORGE TOWN, 12 Syawal 1441H, Khamis – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan seorang Sarjan direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan dakwaan meminta rasuah daripada seorang peniaga kedai vape.

Tempoh reman bagi pegawai berusia 46 tahun dan anggota polis berumur 53 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Nur Farhana Abu Hassan setelah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kedua-dua lelaki itu ditahan SPRM secara berasingan pada jam 7 malam dan 10 malam di sekitar Kepala Batas, semalam.

Kedua-dua suspek dipercayai telah meminta wang rasuah itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap peniaga terbabit, yang membuka kedai tanpa kebenaran dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut sumber, pada mulanya Sarjan itu telah meminta dan menerima wang berjumlah RM3,000 daripada peniaga terbabit sebelum Inspektor berkenaan meminta RM5,000 lagi dan mengarahkan anggota polis itu mengambilnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang Lim Bee Kean ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu, namun enggan mengulas lanjut. -Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close