Uncategorized

Lagi pemandu mabuk ditahan

Operasi banteras pengguna jalan raya memandu bawah pengaruh alkohol

PETALING JAYA, 12 Syawal 1441H, Khamis – Polis menahan dua individu kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Alkohol di Petaling Jaya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 23 dan 40 tahun itu didapati memandu melebihi kadar alkohol yang ditetapkan.

Katanya, operasi dilakukan bagi mencegah dan membanteras pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang dibawah pengaruh alkohol.

“Sejak Op Alkohol dijalankan bermula pada 27 Mei lalu, seramai 23 individu sudah ditahan kerana melakukan kesalahan berkenaan.

“Berdasarkan statistik dalam tempoh satu minggu operasi dijalankan didapati berlaku penurunan berhubung kesalahan berkenaan,” katanya.

Nik Ezanee berkata, 94 individu diperiksa dan menjalani ujian pernafasan ketika operasi dijalankan.

“Satu saman juga dikeluarkan atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu,” katanya.

Pada masa sama, Polis Kuala Lumpur juga menahan sebelas lelaki kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah di empat lokasi sekitar ibu negara malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan mereka yang mengambil minuman beralkohol tidak memandu.

Katanya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close