Berita Utama

Melaka kaji semula peraturan jual arak: Ketua Menteri

Kerjasama dengan PDRM, Jabatan Kastam, Pihak Berkuasa Tempatan

MELAKA, 12 Syawal 1441H, Khamis – Kerajaan negeri Melaka akan mengkaji semula peraturan penjualan arak di negeri ini bagi mewujudkan garis panduan baharu berikutan berlaku peningkatan kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk, kata Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, kajian itu akan melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kerajaan Negeri Melaka mengambil maklum mengenai kes pemandu di bawah pengaruh alkohol yang terbabit dengan kemalangan sehingga menyebabkan kematian orang awam yang tidak bersalah sejak kebelakangan ini.

“Kajian semula ini juga sebagai sokongan penuh terhadap saranan dan cadangan perdana menteri yang mahu Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dipinda agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil serius terhadap isu penjualan minuman keras kerana ia turut menyebabkan masalah sosial lain yang lebih besar jika tindakan tegas dan hukuman lebih berat tidak dikenakan.

β€œIa juga boleh menyebabkan timbul masalah lain dalam kalangan masyarakat berpunca daripada kehilangan ahli keluarga yang menjadi tunggak keluarga seperti ibu, bapa dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman berkata, kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan Majlis Perbandaran Jasin yang menerima pengiktirafan sebagai 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia bersempena sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia.

Beliau berkata pengiktirafan itu menjadi pemangkin semangat kepada kedua-dua PBT tersebut agar terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada warganya selain menjadi pembakar semangat pada dua lagi PBT di negeri ini.

“Ia penting untuk semua PBT berusaha memperoleh pengiktirafan yang sama, seterusnya membantu Melaka muncul sebagai Negeri Paling Bahagia di negara ini,” katanya.

Dua lagi PBT di negeri ini ialah Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close