Berita Utama

Normal baharu: Penjarakan sosial di bilik guru

Patuh garis panduan baharu elak penyakit berjangkit

BANGI, 12 Syawal 1441H, Khamis – Guru perlu mematuhi garis panduan baharu di sekolah bagi mengelakkan penularan sebarang penyakit berjangkit.

Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, antara prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh guru ialah penjarakan sosial di bilik guru bagi mengelakkan kesesakan dalam ruangan yang kecil.

Katanya, guru tidak perlu khuatir kerana mengikut garis panduan yang dikeluarkan, keselamatan dan kesihatan mereka turut dititikberatkan oleh kementerian.

“Guru-guru tidak perlu risau mereka akan bersesak-sesak dalam bilik guru, kerana pihak sekolah perlu memastikan terdapat penjarakan sosial walaupun dalam bilik guru.

“Guru-guru yang dipindahkan dari bilik guru asal akan ditempatkan di bilik bersesuaian termasuklah pusat sumber dan sebagainya,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Normal baharu itu antara kandungan dalam Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mula diedarkan kepada sekolah dan dimuat naik di laman sesawang kementerian itu pada Khamis.

Garis panduan setebal 34 muka surat itu dihasilkan secara terperinci dan menyeluruh bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Garis panduan itu juga menetapkan beberapa peraturan baru kepada pelajar bermula sebaik mereka melangkah masuk ke sekolah, ketika pembelajaran, waktu rehat serta berada di asrama.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button