Berita Utama

Pemandu mabuk: Mohon Akta 333 tingkat hukuman jadi kenyataan

Harap kaedah diyat dalam sistem pengampunan kes bunuh terlaksana

BANGI, 12 Syawal 1441H, Khamis – Kesungguhan kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk tentunya melegakan banyak pihak.

Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Wan Roslili Abd Majid berkata, nyawa dan kesihatan amat bernilai di sisi Islam tanpa mengira kedudukan dan latar belakang seseorang.

“Oleh itu, hukuman setimpal ditetapkan bagi kesalahan mencederakan anggota dan mengorbankan nyawa. Hukuman ditetapkan bertujuan melaksanakan keadilan dan memelihara maslahah semua pihak terbabit khususnya mangsa dan keluarga yang kehilangan insan dikasihi,” katanya menulis di Berita Harian.

Dalam pada itu, beliau seperti rakyat lain juga berharap cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi peningkatan hukuman akan dibawa ke Parlimen, selain siasatan kes berasaskan Kanun Keseksaan benar-benar menjadi kenyataan.

“Lebih penting, diharapkan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan kaedah diyat dalam sistem pengampunan bagi kes pembunuhan akan terlaksana juga, bahkan turut membabitkan bentuk kesalahan lain.

“Seperti dinyatakan pengkaji, kadar pampasan ditetapkan mahkamah atau pihak insurans jauh lebih rendah berbanding kadar diperlukan hayat manusia. Justeru, pembayaran diyat dilihat dapat memenuhi keperluan ini,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta 333 supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Katanya, pindaan akta berkenaan difahamkan akan dimuktamad pada pertengahan Jun sebelum dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibentangkan pada persidangan akan datang.

Katanya lagi, mengikut undang-undang sedia ada individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

“Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan,” kata beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button