Uncategorized

PEMBELA lancar tabung mangsa ‘rider Food Panda’ dianiaya

Boleh hulur sumbangan ke akaun Bank Islam 06055010031067

BANGI, 12 Syawal 1441H, Khamis – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) hari ini melancarkan tabung bantuan bagi membantu enam penghantar makanan yang menghadapi pertuduhan melakukan rusuhan – didakwa dianiaya – di sebuah restoran di Bandar Puteri, Puchong pada 18 Mei lalu.

Sebelum ini, mereka – ‘rider Food Panda’ – berkumpul di hadapan premis berkenaan sebagai tanda protes terhadap seorang lelaki bertindak kasar dengan menendang seorang wanita penghantar makanan hingga terjatuh.

Lelaki terbabit dipercayai tidak berpuas hati kerana wanita yang menunggang motosikal itu memotong ketika dia ingin membuat pusingan U. Akibat kejadian itu, lelaki terbabit menunjukkan isyarat lucah sebelum bertindak menolak mangsa.

Muhammad Hafiz Yusnan, 21, Muhamad Izzat Abd Bari, 22, Mohd Syukri Achyar, 39, Wan Hafizie Wan Hanapi, 28, S Jaya Nantha Kumaran, 31, dan Amirul Zahari Zailani, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Semua tertuduh didakwa bersama-sama 10 orang lagi yang masih bebas melakukan rusuhan itu pada 6.20 petang mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nor Ariffin membenarkan semua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM2,500 serta seorang penjamin setiap orang dan menetapkan 13 Julai untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Naib Pengerusi PEMBELA, Cikgu Izzat Johari memaklumkan, dua daripada enam penghantar makanan itu sudah ada peguam bela, manakala selebihnya menghadapi kekangan untuk mendapatkan bantuan khidmat guaman.

“PEMBELA melalui Datuk Zainul Rijal Abu Bakar selaku Timbalan Pengerusi yang juga Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim (PPMM) menawarkan khidmat guaman kepada empat mangsa berkenaan.

“Bagaimanapun, terdapat kos-kos kecil yang perlu ditanggung oleh mereka yang perlu dibantu oleh kita semua. Inilah masanya untuk kita mulakan langkah membantu sesama kita,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, untuk peringkat pertama, tabung akan dibuka dalam tempoh dua minggu iaitu bermula hari ini hingga 18 Jun depan.

“Semoga segala bantuan kita dapat mengurangkan beban mereka sepanjang menghadapi kes mahkamah ini. Anda mampu lakukan perubahan, kita mampu lakukan perubahan bersama,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, boleh hulurkan sumbangan ikhlas ke akaun Bank Islam 06055010031067 (BMF NC) dengan butiran lima sekawan teraniaya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button