Uncategorized

Pemimpin tak patut cetus krisis di kala negara berdepan COVID-19

Beri ruang PM jalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 12 Syawal 1441H, Khamis – Pemimpin politik sepatutnya tidak menimbulkan krisis kepimpinan supaya kerajaan dapat menumpukan sepenuhnya terhadap pengekangan wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, mereka yang menghadapi krisis politik digesa mengisytiharkan perdamaian sehingga selesai tekanan yang dihadapi.

“Perdamaian ini mungkin memberi ruang lebih luas untuk Perdana Menteri dan kerajaan menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Krisis politik kembali memuncak apabila Datuk Dr Shahruddin Md Salleh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya berkuat kuasa, serta-merta hari ini.

Ahli Parlimen Sri Gading itu dalam satu kenyataan memaklumkan, beliau telah membuat keputusan yang kurang tepat dengan menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Dengan rasminya saya umumkan meletak jawatan perkara di atas berkuatkuasa mulai hari ini. Saya telah melakukan ijtihad politik yang kurang tepat iaitu dengan menyertai kerajaan Perikatan Nasional.

“Saya seharusnya meletakkan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi-pengundi di Parlimen Sri Gading P149 telah memilih parti Pakatan Harapan PH dalam PRU14,” katanya.

Mengulas mengenai perkara itu, Nik Ahmad Kamal menyifatkan bahawa krisis yang kembali memuncak di Johor dan parti Bersatu adalah sebahagian daripada rencah kehidupan politik di negara ini.

Beliau berkata, semua pihak ketika ini sedang menghadapi pelbagai tekanan, khususnya kerajaan yang terpaksa menangani COVID-19, memulihkan ekonomi, di samping menangani krisis politik yang tiada kesudahan.

“Jentera kerajaan juga perlu memastikan rangsangan ekonomi dapat memulihkan ekonomi negara. Oleh itu, amat penting sokongan sepenuhnya diberikan kepada kerajaan dalam semua aspek untuk memastikan kejayaan dapat dicapai segera,”katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button