Berita UtamaIstimewa

Rebut kuasa: Wakil rakyat kena ambil peduli amaran Sultan Johor

Risiko COVID-19, PRU belum tentu selamat untuk kesejahteraan rakyat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 12 Syawal 1441H, Khamis – Amaran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar semalam disifatkan sebagai tepat pada waktunya dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak tidak kira kerajaan ataupun pembangkang.

Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, bukan sahaja wakil rakyat Johor perlu memandang serius titah berkenaan, bahkan di negeri lain serta peringkat Persekutuan.

“Kita semua maklum situasi politik sekarang ini tidak menentu kerana selepas peletakan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Februari lepas, politik negara telah mengalami penstrukturan semula yang membabitkan perpecahan PKR dan Bersatu.

“Ia seterusnya membawa perubahan kepada tampuk kepimpinan kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) ke Perikatan Nasional (PN). Dan apa yang berlaku itu sebenarnya berdasarkan sentimen atau kehendak semasa akibat pretasi PH dalam mentadbir negara selama 22 bulan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Dalam keadaan politik yang tidak stabil ditambah lagi dengan krisis wabak COVID-19, Dr Fathi merasakan amat tidak sesuai mana-mana pihak menimbulkan kekeruhan yang mungkin membawa kepada pilihan raya umum (PRU).

Beliau memaklumkan sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen dibubarkan, pilihan raya mesti dijalankan dalam tempoh 60 hari.

“Dalam situasi dunia masih berdepan dengan risiko wabak, kita tidak pasti PRU selamat atau tidak untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dr Fathi menegaskan bahawa pemimpin politik sewajarnya mengutamakan kebajikan rakyat yang berdepan dengan masalah khususnya dari sudut ekonomi akibat COVID-19.

“Bukan sibuk memikirkan kuasa dan pengaruh dalam politik. Oleh itu dalam hal ini, pesanan Sultan Johor amat tepat dan sewajarnya diberi perhatian semua pihak khususnya pembangkang,” kata beliau.

Terdahulu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa kecewa baginda susulan kemelut politik yang masih berlanjutan di negeri itu.

Baginda bertitah, dalam keadaan rakyat yang sedang susah, wakil rakyat dilihat langsung tidak peduli dan sanggup menambah derita rakyat.

“Saya telah bersumpah untuk menjaga dan membela nasib rakyat dan negeri saya pada setiap masa. Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor serta merta,” titah baginda.

Kemelut politik di Johor timbul apabila PH mendakwa mereka mempunyai jumlah ADUN yang mencukupi untuk merampas semula negeri itu setelah PN mengambil alih pada Februari lalu.

Ketika ini, PN mempunyai 29 kerusi DUN di Johor, berbanding 27 dari PH. Bagaimanapun baru-baru ini wujud spekulasi bahawa ada ADUN Bersatu yang ingin kembali kepada PH dan meninggalkan PN.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button