Berita UtamaDunia

Syarikat pengeluar minyak berdepan risiko bankrap

Bagaimana jika kejatuhan harga minyak berlarutan?

BANGI, 12 Syawal 1441H, Khamis – Sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, harga minyak mentah jatuh mendadak hingga memberi kesan signifikan kepada syarikat-syarikat pengeluar minyak.

Profesor Geologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Che Aziz Ali berkata, kemungkinan yang boleh berlaku adalah kebankrapan dalam kalangan syarikat pengeluar minyak kerana tidak lagi mampu menampung kos pengeluaran dan kos operasinya. 

Malah, syarikat kecil juga mungkin terpaksa menutup operasi lebih awal dan membuang pekerja.

Dr Che Aziz berkata, demi mengatasi masalah ini, syarikat minyak mungkin terpaksa diambil alih oleh kerajaan untuk memastikan kelangsungannya serta bagi mengatasi masalah sosial dan ekonomi yang lebih serius. 

“Ini mungkin satu tindakan drastik, namun tindakan drastik mampu menyelamatkan keadaan daripada terus menjadi lebih buruk,” katanya dalam artikel yang disiarkan BHOnline, hari ini.

Beliau menegaskan, satu tindakan bersepadu perlu dilakukan pada peringkat global bagi mengembalikan harga ke tahap munasabah atau sekurang-kurangnya bagi membolehkan syarikat pengeluar beroperasi semula. 

“Ketika ini harga sudah mulai naik ke paras sekitar AS$35 (RM149.15) satu tong, tetapi masih di bawah paras kos pengeluaran.

“Tindakan paling awal yang boleh dilakukan adalah dengan mengurangkan pengeluaran bagi menstabil harga,” katanya.

Pun begitu, Dr Che Aziz berkata, tindakan sedemikian juga boleh memberi impak ekonomi yang besar kepada negara.

“…khususnya negara yang bergantung ekonomi kepada sumber petroleum, terutama negara menganggotai Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

“Hakikatnya, negara kita bergantung tinggi kepada industri petroleum. Lebih daripada 20 peratus pendapatan negara adalah melalui cukai dan royalti daripada PETRONAS. 

“Bagaimanakah kedudukan ekonomi negara jika fenomena kejatuhan harga minyak berlarutan hingga beberapa tahun?,” soalnya.

Beliau berkata, jelas bahawa COVID-19 bukan sekadar soal kesihatan manusia sejagat, sebaliknya ia merentasi pelbagai isu kelestarian kehidupan. 

“Dalam konteks kejatuhan harga minyak, ini bererti pengurangan pendapatan negara dan seterusnya bakal membantut rancangan pembangunan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close