Berita Utama

Syor negeri lain ikut DBKL bekukan permohonan lesen minuman keras

Tindakan berterusan supaya industri arak dilumpuhkan sepenuhnya

BANGI, 12 Syawal 1441H, Khamis – Pemuda gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyarankan pihak berkuasa negeri mengikut jejak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membekukan permohonan baharu lesen minuman keras serta merta.

Menyambut baik cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa supaya kerajaan membekukan pengeluaran lesen baharu penjualan arak, Ketua Penerangan Pemuda ISMA, Muslim Abdullah Zaik berkata, tindakan yang pantas itu dapat mengurangkan risiko kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk.

“Pada masa sama, Pemuda ISMA juga ingin mengucapkan tahniah kepada PDRM atas kejayaan menangkap 822 orang pemandu mabuk. Sekaligus mengembalikan kepercayaan masyarakat kepada pihak berkuasa.

“Tindakan seperti ini perlu berterusan dan dipertegaskan sehinggalah industri arak berjaya dilumpuhkan sepenuhnya di Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Akhir-akhir ini, berlaku beberapa kes nahas jalan raya membabitkan pemandu mabuk sehingga ada yang mengakibatkan kematian.

Semalam, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman memaklumkan, sejumlah 22 kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk dilapor dalam tempoh lima bulan tahun ini dan dalam tempoh itu juga seramai 822 orang ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, mereka yang ditahan dalam tempoh Januari hingga Mei lepas itu terdiri daripada mereka yang berusia antara 15 hingga 41 tahun.

Sebelum ini, Annuar Musa mencadangkan supaya kerajaan membekukan pengeluaran lesen baharu penjualan arak sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan.

Beliau berkata, lesen premis yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap kedai-kedai menjual alkohol juga perlu diperketatkan susulan berlakunya kemalangan jalan raya melibatkan pemandu mabuk.

Sehari selepas saranan itu, DBKL mengeluarkan notis membekukan permohonan baharu lesen minuman keras serta-merta.

Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL memaklumkan, tindakan akan diambil terhadap premis yang menjual minuman keras tanpa lesen.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button