Berita Utama

53 peratus tapak binaan diperiksa semalam patuh SOP

144 individu dikompaun atas pelbagai kesalahan ingkar PKPB

PUTRAJAYA, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Sejumlah 53 peratus daripada 191 tapak binaan diperiksa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) semalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam menangani penularan COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 101 tapak binaan mematuhi SOP manakala tujuh tapak binaan didapati tidak patuh SOP dan diberi amaran.

“Sementara itu, dua tapak binaan diarah tutup kerana tidak patuh SOP dan baki 81 tapak binaan tidak beroperasi,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Setakat hari ini, jumlah kumulatif tapak binaan yang telah diperiksa oleh CIDB adalah 6,750 dan daripada jumlah itu, 1,312 tapak binaan didapati mematuhi SOP dan 295 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran.

Jelasnya, penguat kuasa CIDB telah mengarahkan sejumlah 12 tapak binaan untuk tutup kerana tidak mematuhi SOP dan 5,131 tapak binaan belum beroperasi.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 67 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan daripada jumlah itu, seramai 66 orang direman manakala seorang dibebaskan dengan jaminan polis.

PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 144 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB manakala tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri, katanya.

“Justeru, semua pihak diingatkan supaya mematuhi SOP dan peraturan yang telah ditetapkan. Kerjasama dan kawalan kendiri daripada anda semua amat penting dalam memerangi pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan sebanyak 37 kenderaan diarah patah balik atas cubaan rentas negeri tanpa kebenaran.

Antara negeri yang mencatat cubaan rentas negeri yang tertinggi ialah Melaka (16), Negeri Sembilan (sembilan) dan Pahang (lapan). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close