Berita Utama

Adakah minum arak ada dalam ajaran agama orang bukan Islam?

Mengapa ada ‘double standard’ hukuman babitkan arak

KUALA LUMPUR, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat menempelak kenyataan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu yang menyatakan meminum arak adalah hak orang bukan Islam.

Ustaz Masridzi menegaskan, hanya hak kebebasan beragama yang tertakluk di dalam Perlembagaan Persekutuan dan tiada dinyatakan berkenaan hak orang bukan Islam untuk meminum arak.

“Apakah maksud hak orang bukan Islam untuk minum arak? Adakah dalam Perlembagaan ada menyebut hak orang bukan Islam minum arak, hanya hak kebebasan beragama. 

“Adalah meminum arak ini ada dalam ajaran agama mereka. Kita difahamkan dalam semua agama pun melarang meminum arak. Kerana ia memberi kemudaratan besar. 

“Jadi jika ia bukan ajaran agama, bagaimana kita nak beri hak itu? Orang yang minum pun bukan ada yang positif, kebanyakannya melahirkan masalah negatif,” katanya dalam sidang media yang diadakan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ronnie mengecam langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membekukan pemberian lesen baru untuk penjualan arak di Kuala Lumpur.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berperlembagaan dan mengganggu hak bukan Islam untuk minum arak. 

Sementara itu, Ustaz Masridzi mengucapkan tahniah kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kerana bertindak membekukan pengeluaran lesen baharu penjualan arak.

“Tindakan Annuar Musa ini patut disokong dan diikuti. Sepatutnya negeri lain terus umumkan perkara yang sama. Semua PBT patut ambil respon di semua negeri. 

“Tapi kita lihat macam tak ada respon. Ke mana mereka ini? Patutnya semua PBT, kerajaan negeri, majlis perbandaran ikutlah langkah menteri ini,” katanya.

Pada masa sama, Ustaz Masridzi menegaskan bahawa industri arak ini mesti dilumpuhkan kerana ia membawa bala kepada negara.

“Yang menculik, rogol, arak, rumah tangga bercerai-berai kebanyakannya berpunca daripada arak. Macam-macam jenayah yang berlaku. 

“Arak ini sama macam dadah, yang akan menghilangkan kewarasan akal. Bila mana yang minum ini, dia tak boleh berfikir dengan normal, maka timbul ransangan untuk bertindak secara agresif. 

“Benda ini benda merosakkan. Saya kesal tidak ada satu tindakan penyelesaian yang holistik kepada masalah ini. Kenapa mesti ‘double standard’ dalam menjalankan ketegasan dalam perkara yang berbahaya sebegini,” soalnya.

Sedangkan, dalam Akta Pencegahan Dadah Berbahaya, telah dinyatakan bahawa bukan hanya penagih, tetapi yang mengedar dadah dan juga menjual dadah turut dikenakan tindakan, tegas Ustaz Masridzi.

“Sampai air ketum pun tak boleh. Begitu kuat kerajaan kuatkuasakan. Berapa ramai dah dihukum gantung mandatori. Tetapi dalam arak ni macam ada double standard. 

“Kerajaan hanya fokus kepada yang mabuk, tetapi penjual tidak dikenakan tindakan. Maka akta yang dibuat lebih fokus kepada Kementerian Pengangkutan sahaja. 

“Sedangkan penjualan arak, pengedaran arak, industri arak itu sendiri tidak dikenakan tindakan. Ini perkara yang sangat memalukan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button