Berita Utama

Bubar Parlimen: Parti Melayu perlu bersatu jangan berpecah

Orang Melayu perlu ambil insentif PENJANA tanpa rasa ragu

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tidak ada jalan lain selain membubarkan Parlimen seterusnya mengadakan pilihan raya umum (PRU) sekiranya kemelut politik negara tiada titik penghujungnya.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, PRU ke-15 amat perlu bagi mendapatkan satu tunggak kuasa di atas kepercayaan dan undi rakyat kepada kerajaan baharu yang boleh mengekalkan kestabilan politik dan ekonomi negara selepas dilanda wabak COVID-19.

Namun katanya, Perikatan Nasional (PN) perlu menjawab sama ada komponen parti itu yang terdiri dari Bersatu, BN, PAS, GPS, PBS dan STAR adalah parti ‘Touch ‘N Go’ atau gabungan parti sehingga pilihan raya akan datang.

“Selain itu, kita dapati undi orang Melayu pada pilihan raya lepas tidak memberangsangkan berbanding kaum lain. Justeru ahli politik Melayu perlu bersatu padu dan meninggalkan kerenah politik yang boleh memecahbelahkan mereka.

“Lebih penting, mereka mesti ada satu visi dan matlamat bukan sahaja untuk memerintah tetapi memastikan kemakmuran dan kesejahteran orang Melayu. Kita kena ambil kesempatan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai perutusan khas Perdana Menteri berhubung Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek, hari ini,

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) membabitkan peruntukkan berjumlah RM35 bilion bagi memacu kembali ekonomi Malaysia ekoran pandemik COVID-19.

Dengan tema ‘Bersama Menjana Ekonomi’, menerusi PENJANA beliau berkata, kerajaan mengenal pasti tiga teras utama iaitu memperkasakan rakyat; melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

Kerajaan mengumumkan pemberian geran dan pinjaman berjumlah RM700 juta kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peringkat pertengahan.

Kerajaan juga bersetuju memberi rebat cukai pendapatan sebanyak RM20,000 setiap tahun untuk tempoh tiga tahun kepada syarikat PKS yang beroperasi mulai 1 Julai ini sehingga 31 Disember 2021.

Dr Syed Agil berkata, pengumuman Perdana Menteri mengenai syarikat PKS itu perlu diambil sepenuhnya oleh orang Melayu tanpa rasa ragu-ragu.

“Ia adalah strategi yang mana kerajaan mahu membantu PKS terutamanya peniaga-peniaga Melayu yang menghadapi masalah dalam era COVID-19 ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button