Berita Utama

COVID-19: Kes baharu kembali dua angka

Satu kematian hari ini selepas 13 hari berturut-turut tiada kes

PUTRAJAYA, 13 Syawal 1441H, Jumaat – Jumlah jangkitan kes positif COVID-19 baharu yang dilapor hari ini, kembali turun kepada dua digit iaitu 19 kes dengan sembilan kes membabitkan warganegara Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, terdapat satu kes kematian hari ini selepas 13 hari berturut-turut tiada kes kematian baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 116 kes atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, katanya.

Dr Noor Hisham berkata daripada 19 kes baharu, tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 12 kes penularan di dalam negara, tiga kes adalah bukan warganegara manakala sembilan kes membabitkan warganegara Malaysia.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,266 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,540 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19 di sini hari ini.

Kes yang telah pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini ialah 51 kes menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 6,610 kes iaitu 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes kematian berkenaan membabitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan barah buah pinggang.

Sehingga kini, sebanyak enam kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, impak positif daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sudah hampir tiga bulan dilaksanakan, beberapa penyakit berjangkit lain mengalami kes penurunan ketara bagi perbandingan analisis wabak tersebut daripada minggu epid pertama sehingga minggu epid ke-22 tahun 2019 dan 2020.

Penyakit berkenaan ialah penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang terdapat penurunan kes sebanyak 44.6 peratus; demam campak (58.3 peratus) dan cacar air (44.4 peratus).

“Sepanjang tempoh ini (PKP dan PKPB), kerajaan telah menekankan pelbagai langkah pencegahan misalnya amalan penjarakan sosial yang selamat (iaitu sekurang-kurangnya 1 meter daripada orang lain) dan mengelakkan berada di dalam ruang yang sempit dan sesak.

“Keberkesanan kaedah ini bukan sahaja terbukti menurunkan kes COVID-19, malah turut menyebabkan penurunan penyebaran penyakit berjangkit yang lain terutamanya penyakit berjangkit yang disebar melalui sentuhan,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham meluahkan kebimbangan dalam keadaan situasi wabak COVID-19 kerana terdapat penurunan dalam kadar imunisasi bayi dan kanak-kanak, kesan ibu bapa yang risau untuk membawa anak kecil keluar rumah untuk ke klinik.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan mengenai kepentingan imunisasi kanak-kanak bagi mencegah terjadinya kejadian wabak penyakit cegahan vaksin.

Beliau turut menegaskan bahawa perkhidmatan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak masih diteruskan seperti biasa di Klinik Kesihatan.

“Oleh itu, ibu bapa atau penjaga dinasihatkan untuk mematuhi jadual imunisasi dan tarikh janji temu yang telah ditetapkan. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila hubungi Klinik Kesihatan yang berdekatan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button